Page 985 - Proceedings Collega2023
P. 985
Negara 1965 menjadi sistem perundangan berkaitan tanah yang dikanun secara formal sahaja. Kepentingan
pemilikan terhadap tanah hanya diberikan kepada pemilik yang mendaftarkan pemilikannya pada Kerajaan
Negeri (Azima Abdul Manaf et al, 2015). Sebaliknya, tanah adat yang diwarisi dari generasi ke generasi
melalui tradisi tidak termasuk dalam sistem pendaftaran tanah mengikut undang-undang tanah Malaysia
kerana ianya diletakkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri sedangkan Kerajaan Persekutuan tidak
mempunyai kuasa tersebut. Dalam urusan tanah ini juga, Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk
mengambil sebarang tanah, termasuk tanah yang didiami oleh komuniti Orang Asli dan peribumi untuk
kepentingannya (Ramle et al, 2020). Kesan daripada perundangan tersebut, maka risiko tanah saka untuk
diambil balik adalah tinggi terutama untuk tujuan tuntutan pembangunan ekonomi (Noor Ashikin et. al,
2011).
Menurut Ramle et al (2020) menyatakan konflik tanah yang berlaku antara Orang Asli dengan pihak luar
yang terkini melibatkan aktiviti pembalakan, projek pembangunan dan perladangan yang telah
memusnahkan ekologi dan menyebabkan kemusnahan alam semula jadi yang juga petempatan Orang Asli.
Disebabkan ketiadaan pengiktirafan kepada hak tanah saka menyebabkan pihak luar bebas memasuki tanah
mereka Ramle et al (2020). Kebiasaannya dengan tiadanya pengiktirafan terhadap tanah adat telah
menyebabkan aktiviti-aktiviti ekonomi terutamanya pembalakan memasuki kawasan tanah adat komuniti
peribumi (Madeline Henry Luyan dan Gaim James Lunkapis, 2016). Hal ini telah menyebabkan ratusan-ribu
hektar tanah saka masyarakat Orang Asli dan peribumi terjejas akibat aktiviti pembalakan oleh syarikat-
syarikat swasta yang masih beroperasi dengan pesat bukan sahaja berlaku di Semenanjung Malaysia bahkan
sehingga ke Sabah dan Sarawak (Azima Abdul Manaf et al, 2015). Hal ini menimbulkan konflik dan banyak
masalah serta sekaligus mengancam kehidupan masyarakat Orang Asli dan peribumi yang bergantung
kepada sumber-sumber hutan untuk kehidupan seharian mereka.
Berdasarkan kepada permasalahan yang telah dibincangkan, pengkaji melihat konflik-konflik yang berlaku
terhadap pemilik tanah adat atau tanah saka adalah bermula dengan disebabkan wujud jurang makna
dalam konteks pemilikan dan persempadanan seterusnya menyebabkan pemilikan tanah tidak diiktiraf dan
tidak mempunyai dokumen pengiktirafan formal seperti geran tanah. Disebabkan hal itu, hak-hak sosial,
ekonomi, kebudayaan dan politik komuniti adat terjejas kerana tanah adat mudah terdedah dengan
pelbagai jenis ancaman seperti pencerobohan, pengambilan balik tanah dan pengeksploitasian (Azima
Abdul Manaf et al, 2015).
Lokasi Kajian
Tumpuan lokasi kajian ini melibatkan 14 pos petempatan suku kaum Temiar di Gua Musang Kelantan.
Pemilihan suku kaum Temiar di Gua Musang Kelantan sebagai sampel kajian kerana suku kaum ini
merupakan kaum Orang Asli yang paling ramai di negeri Kelantan yang tinggal di kawasan hutan berbukit di
pedalaman. Suku kaum ini dipercayai telah tinggal menetap Gua Musang Kelantan sebelum tahun 1950-an
lagi. Mereka sangat percaya Gua Cha di Pos Tohoi dan Sungai Ber di Pos Hendrop merupakan antara
petempatan awal bagi suku kaum Temiar di Kelantan. Secara rasionalnya pengkaji memilih suku kaum
Temiar di Gua Musang Kelantan adalah kerana isu pewartaan tanah dan tuntutan hak milik tanah dalam
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 972 -

