Page 981 - Proceedings Collega2023
P. 981
Tanah merupakan aset penting kepada seluruh masyarakat di seluruh dunia bagi mendapat manfaat dari
sudut keperluan harian untuk meneruskan kehidupan. Namun pengiktirafan kepada pemilikan dan hak
kepada tanah ditentukan oleh perundangan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan bagi mengesahkan
pemilikan sesuatu kawasan atau tanah. Di Malaysia undang-undang tanah sememangnya ditadbir
berdasarkan sistem perundangan Malaysia. Perundangan berkenaan tanah terbahagi kepada tiga bahagian
sistem pentadbiran iaitu Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 (yang berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia),
Kanun Tanah Sarawak 1958 (Bab 81) di negeri Sarawak dan Ordinan Tanah Sabah 1930 (Bab 68) yang
berkuasa di negeri Sabah sahaja. Pentadbiran tanah di Malaysia melalui Kanun Tanah Negara (KTN) adalah
berdasarkan perundangan Sistem Torrens kecuali negeri Sabah. Pentadbiran ini telah memberi
perlindungan terhadap pemilikan tanah di Malaysia dan cenderung dihormati. Namun pengaplikasian
undang-undang tersebut adalah kurang dan tidak konsisten serta berubah-ubah sehingga sukar
diimplementasikan mengikut perubahan yang berlaku.
Bahkan lebih teruk lagi telah mencetuskan pelbagai konflik dalam kalangan pemilik tanah tersebut berikutan
tujuan penggubalan Sistem Torrens pada masa dahulu adalah disebabkan untuk menjamin kepentingan
ekonomi British. Antara konflik yang berlaku akibat daripada perubahan ini adalah konflik perebutan hak
milik tanah adat atau tanah saka yang dimiliki oleh Orang Asli dan peribumi dengan pihak luar seperti
pemaju tanah, syarikat luar (swasta) dan juga kerajaan dengan penduduk Orang Asli dan peribumi yang
mendiami kawasan tersebut. Berdasarkan kepada kajian dokumen menunjukan, pengaplikasian sistem
perundangan dan pemberian hak kepada Orang Asli dalam pemilikan tanah dilihat masih belum cukup
kukuh dalam mempertahankan hak Orang Asli terhadap tanah saka (Ramle 2020). Walaupun kuasa
perundangan berkaitan dengan tanah secara umumnya telah diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan, kuasa
pentadbiran tanah masih kekal di tangan kerajaan negeri. Seksyen 40 Kanun Tana Negara (KTN) secara jelas
memperuntukkan bahawa Pihak Berkuasa Negeri (PBN) mempunyai hak ke atas semua tanah yang
termasuk di dalam sempadan negeri masing-masing. Pihak Berkuasa Negeri (PBN) diberi kuasa untuk
melupuskan tanah tersebut mengikut kaedah yang ditetapkan oleh undang-undang seperti Kanun Tanah
Negara (KTN), Enakmen Perlombongan (Cap 147) dan Akta Perhutanan Negara (1984). Segala urusan
pentadbiran yang berkaitan dengan tanah juga perlu dilakukan melalui kuasa Pihak Berkuasa Negeri (PBN).
Sehubungan dengan itu, di bawah Kanun Tanah Negara (KTN) dan Akta 134 Orang Asli, kajian ini akan
membincangkan cabaran yang dihadapi oleh suku kaum Temiar untuk mewartakan tanah saka mereka.
Sorotan Literatur
Berdasarkan kajian dokumen, pengkaji telah mengenalpasti beberapa tema penting daripada kajian
terdahulu sepertimana berikut:
Orang Asli di Malaysia
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 968 -

