Page 989 - Proceedings Collega2023
P. 989
kami diwarta atau diberi hak milik ini sudah lama, seingat saya sebelum tahun 2000 lagi. Tapi sampai
sekarang masih lagi belum selesai-selesai.”
Berikutan daripada isu perundangan ini, jelas suku kaum Temiar juga turut terkesan. Oleh itu, usaha untuk
meminda Akta 134 ke arah yang lebih relevan dan sesuai dengan situasi semasa hendaklah diambil serius
oleh pihak berkaitan supaya usaha membangunkan Orang Asli khususnya suku kaum Temiar dalam sektor
ekonomi di atas tanah saka mereka dapat direalisasikan.
ii. Penentuan persempadanan
Cabaran seterusnya pewartaan tanah saka dalam suku kaum Temiar di Kelantan adalah masalah penentuan
sempadan tanah. Terdapat beberapa masalah percanggahan dalam dalam kalangan Orang Asli dengan pihak
agensi untuk menentukan sempadan Tanah Rizab Orang Asli. Disebabkan percanggahan yang berlaku telah
menyebabkan proses yang sepatutnya dilaksanakan terpaksa ditangguhkan kerana tidak ada keputusan
yang sama-sama menang. Kenyataan ini dinyatakan oleh seorang Informan 32:
“Kami dipihak pelaksana sebenarnya sudah buat kerja sehabis baik dah, tapi disebabkan ada
kekangan macam kita dah siap ukur sempadan, ada pihak dalam kalangan Orang Asli yang bantah
kata kami ukur salah, kawasan dia sepatutnya luas lagi tapi bila kita rujuk dengan pihak Pejabat Tanah
dan Galian (PTG) kawasan yang dia orang tuntut itu dah ada pemilik atau termasuk dalam tanah rizab
hutan simpan atau taman negara. Jadi kami terpaksa tangguhkan dahulu warta kampung-kampung
yang ada isu percanggahan sempadan ini sebab kami perlu lapor dan rujuk dengan pengarah untuk
membincangkan masalah ini dengan pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG).”
Selain itu juga disebabkan berlakunya pertindihan tanah milik dengan tanah rizab yang lain dan hak milik
individu juga antara punca pewartaan tanah rizab Orang Asli tidak dapat dilaksanakan dengan cepat.
Kenyataan ini diceritakan oleh seorang Informan 33:
“Antara sebab lain yang menyebabkan proses pewartaan ini lambat adalah kerana masalah
berlakunya pertindihan tanah milik Orang Asli dengan tanah-tanah rizab yang lain dan juga tanah
hak milik individu lain. Proses ini biasanya berlaku selepas kita siap ukur, bila mana kita hantar ke
Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk semakan permohonan pewartaan. Semasa itu, pihak Pejabat
Tanah dan Galian (PTG) akan semak dan jika berlaku pertindihan milikan tanah pihak Pejabat Tanah
dan Galian (PTG) minta kita (JAKOA) ukur balik dan ubah pelan balik. Jadi disebabkan itu kami kena
berunding dengan pihak Orang Asli dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk mencapai kata
sepakat. Jika mana-mana pihak tidak setuju maka proses pewartaan akan terpaksa ditangguhkan
sehingga titik kesepakatan itu dimuktamadkan.”
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 976 -

