Page 822 - Proceedings Collega2023
P. 822

bagi  menentukan  sukatan  bahan-bahan  yang  digunakan  untuk  membuat  kuih.  Informan  tidak
               menggunakan sukatan tertentu kerana kuih-muih yang dibuatnya dalam kuantiti yang sedikit. Contohnya,
               kuantiti sagu, kelapa parut dan gula yang digunakan tidak diukur dengan ukuran yang standard. Informan
               menggunakan  konsep  anggaran,  iaitu  jika  sagu  yang  digunakan  ialah  satu  paket,  kelapa  parut  yang
               digunakan pula ialah dalam anggaran satu mangkuk besar. Bagi merendam sagu, kuantiti air juga tidak
               diukur,  tetapi  air  yang  digunakan  perlulah  menenggelamkan  sagu  tersebut.  Begitu  juga  dengan
               penggunaan  gula  melaka  yang  digunakan  bagi  menghasilkan  inti  kuih  abok-abok.  Penggunaan  gula
               melaka, gula putih dan garam adalah bergantung kepada kehendak individu itu sendiri. Bagi individu yang
               sukakan kuih yang bersifat manis, misalnya kuantiti gula merah dan gula putih boleh dimasukkan dalam
               kuantiti yang lebih banyak. Kuantiti bahan yang digunakan oleh informan 1 dinyatakan seperti berikut,
               iaitu:

                        “Tapi kuih ni makcik buat tak ada timbang-timbang. Agak-agak, pastikan sagu
                        tenggelam. Masukkan kelapa parut ni dalam mangkuk. Campur. Kuih ini tak
                        ada sukatan, main agak-agak. Sebab nak buat kuih sikit” (Informan 1).

                   Dalam  menghasilkan  kuih  getas-getas,  informan  1  masih  menggunakan  konsep  anggaran  dan
               keseimbangan  bahan.  Bahan-bahan  dianggarkan  supaya  adunan  kuih  tidak  terlalu  keras  atau  lembik
               sehingga menjadikan kuih getas-getas yang digoreng pecah, meletup dan menyerap minyak. Tepung pulut
               pula mempunyai tekstur melekit dan menjadikan kuih getas-getas lebih kenyal. Penggunaan santan pula
               adalah sebagai bahan melembutkan adunan kuih dan memberikan rasa lemak kepada kuih getas-getas.
               Santan  merupakan  bahan  bersifat  cecair  pula  tidak  boleh  diletakkan  terlalu  banyak  kuantitinya.
               Penambahan cecair yang berlebihan dalam adunan kuih boleh menjadikan kuih tersebut cair sehingga
               menyukarkan proses menguli  dilakukan.  Proses menguli  dengan  menggunakan  tangan  membolehkan
               informan merasa dan memerhati tekstur adunan tersebut. Bahan-bahan yang didapati kurang ditambah
               dari  semasa  ke  semasa  bagi  memastikan  adunan  kuih  menepati  tekstur  yang  diingini.  Informan  1
               menyatakan konsep anggaran bahan seperti berikut:

                        “Jangan terlebih tepung, nanti jadi keras. Kalau lebih kelapa, jadi sedap kuih ni,
                        lemak.  Kalau  tepung  pulut  kurang,  dia  akan  jadi  pecah  bila  digoreng.  Kena
                        seimbang,  jangan  banyak,  jangan  kurang  sangat…Santan  anggaran  guna
                        sampai campuran ni boleh dikepal, masukkan sikit-sikit. Kalau rasa keras lagi,
                        campur santan. Jangan banyak santan, benyek, susah nak uli” (Informan 1).

                       Pendekatan  mengukur  bahan  pula  dilakukan  oleh  informan  2  dalam  menghasilkan  kuih  kole
               kacang. Konsep ukuran yang digunakan ialah menggunakan cawan atau mangkuk. Menurut informan 2,
               beliau akan  mengukur bahan  menggunakan cawan, berbanding  ukuran  berdasarkan mangkuk kerana
               menghasilkan sukatan yang lebih tepat. Ukuran berdasarkan cawan lebih mudah berbanding penggunaan
               ukuran metrik seperti liter atau mililiter. Penggunaan cawan lebih mudah diingati berbanding sukatan
               metrik yang lebih sukar disebut atau diingati. Penggunaan ukuran menggunakan mangkuk biasanya akan
               menghasilkan kuantiti kuih yang lebih banyak. Bahan-bahan yang disukat juga mempunyai kuantiti yang
               lebih berbanding penggunaan sukatan cawan. Walau bagaimanapun, sukatan yang digunakan juga masih
               menggunakan konsep anggaran dan tidak terikat sepenuhnya kepada ukuran menggunakan cawan. Jika
               bahan-bahan  yang  digunakan  masih  tidak  cukup,  bahan-bahan  tersebut  boleh  ditambah  mengikut
               kesesuaian. Penggunaan ukuran juga mestilah konsisten, sama ada menggunakan cawan atau mangkuk.
               Konsep pengukuran tersebut dinyatakan seperti yang berikut:


               International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 809 -
   817   818   819   820   821   822   823   824   825   826   827