Page 800 - Proceedings Collega2023
P. 800
Dunia pemasaran sesuatu tempat perdagangan yang tersohor biasanya tidak hanya menyediakan komoditi
setempat. Wilayah yang mempunyai pelabuhan hebat seperti Kedah Tua sudah pasti mempunyai jaringan
luar yang memenuhi permintaan pasaran. Bertujuan untuk meneliti kepelbagaian komoditi yang
dipasarkan, kajian ini memaparkan sekali lagi terjemahan petikan daripada Riḥlat al-Sīrāfiy yang menjadi
fokus topik ini:
“Terdapat di Kalah (Kedah Tua) pengumpulan bahan-bahan pasaran yang terdiri daripada; jenis-jenis
gaharu, kapur barus, cendana, gading, timah, kayu hitam, kayu sepang dan segala rempah-ratus”.
Berdasarkan penelitian terhadap teks ini, terdapat penyebutan “jenis-jenis gaharu” yang menjadi
petunjuk bahawa gaharu-gaharu yang dipasarkan bukan sahaja gaharu Kedah Tua, bahkan juga dari lokasi-
lokasi lain. Merujuk kepada al-Qalqashandiy (2012), beliau berhasil menyenaraikan pelbagai jenis gaharu
berdasarkan lokasi, daripada Kedah Tua dan tempat-tempat lain di rantau India. Jenis-jenis lain contohnya
ialah gaharu al-Qāquliy daripada al-Qāqulah iaitu Tanah Seri (Tenasserim), gaharu-gaharu Indochina
seperti daripada Qāmirūn iaitu Khmer serta al-Ṣanf iaitu Champa.
Seterusnya penyebutan “segala rempah-ratus” juga membuktikan kewujudan komoditi luar yang
dipasarkan. Hal yang demikian kerana Kedah Tua terbukti tidak menghasilkan semua rempah-ratus
Nusantara (Ahmad dan Zainun, 2021). Bagi melengkapkan kepelbagaian rempah-ratus, sudah semestinya
ia mendapatkan bekalan daripada wilayah atau kepulauan Nusantara yang lain. Pada helaian lain dalam
catatan Riḥlat al-Sīrāfiy terdapat penyebutan beberapa contoh rempah-ratus Kepulauan Melayu seperti
berikut:
." ةبابكلاو ةلقاقلاو ةسابسبلاو اوبزولجاو لدنصلاو لفنرقلاو دوعلاو روفاكلا هضرأ نم لمًحو "
Maksudnya:
“Dan dibawa hasil daripada tanahnya, kapur, gaharu, cengkih, cendana, biji buah pala, isi buah
pala, buah pelaga dan kemukus”.
Meninjau lebih jauh kepada catatan pelayaran Arab-Parsi, ternyata mereka tegar untuk
meneroka lebih jauh. Mereka mengetahui kawasan Nusantara yang masih primitif pada masa tersebut
dinamakan al-Barṭāyil dipercayai Kepulauan Maluku, sangat kaya dengan hasil mahsul rempah-ratus.
Sebagaimana mereka juga tahu di pasaran Shalāhiṭ, boleh didapati sebilangan komoditi, antaranya kayu
cendana. Kajian ini belum mendapat maklumat tentang lokasi yang tepat bagi Shalāhiṭ. Berdasarkan
catatan Arab, ia berada di selatan daripada pusat pemerintahan al-Jābah (Srivijaya) yang diketahui terletak
di Palembang. Ia merupakan kawasan gunung berapi dengan terdapat mata air panas di daratannya serta
ikan terbang yang adakalanya terdampar di pantainya (Ibn Khurdādhbih, 2014). Kemungkinan ia terletak
di selatan Sumatera atau di kepulauan pada sebelah selatannya. Shalāhiṭ dipercayai bukan perkampungan
biasa, bahkan sebuah bandar pelabuhan yang mampu melayarkan bahteranya hingga ke pelabuhan Aden
(al-Ya’qūbiy, 1422H). Seterusnya sebuah tempat ke selatan daripada Shalāhiṭ yang tidak dinamakan,
mereka mendapatkan kayu sepang. Pedagang Arab juga telah mengetahui keistimewaan Bārūs yang
menghasilkan kapur yang tiada tandingnya. Bārūs yang dimaksudkan oleh pelayar Arab ialah Sumatera
Utara yang dikenali sekarang. Bandaraya Fanṣūr yang terletak di pantai baratnya lebih terkenal sebagai
pasaran kapur, walaupun pantai timur Bārūs juga menghasilkannya. Tidak hairanlah jika pedagang Arab
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 787 -

