Page 799 - Proceedings Collega2023
P. 799
dianggarkan bahawa beliau hidup pada kurun ke-2 Hijrah (Ibn al-Jarrāḥ, 1986, Ibn Kathīr al-Dimashqiy,
2015).
Meninjau daripada sudut biogeografi, bahan-bahan berasaskan tumbuhan seperti gaharu, kapur
barus, cendana, kayu hitam dan kayu sepang memang antara flora tempatan Semenanjung Tanah Melayu
(Royal Botanic Gardens Kew, 2023). Demikian juga dengan bahan berasaskan haiwan iaitu gading gajah,
adalah daripada sumber alam di tanah ini (Karkala, 2016). Manakala logam timah pula, bidang arkeologi
memang menemui bekas lombong timah purba di penempatan pantai barat Tanah Melayu, iaitu Takuapa
dan Lembah Bujang (Nik Abd Rahman, 1991). Antara tujuh komoditi tersebut, terdapat dua antaranya yang
juga boleh didapati di benua Afrika yang lebih dekat dengan Tanah Arab, iaitu kayu hitam dan kayu sepang.
Begitupun, pedagang Arab tetap juga mendapat dua komoditi tersebut di pasaran Kedah Tua.
Berdasarkan sorotan kepada penggunaan awal komoditi tersebut dalam teks Arab silam, didapati
ia telah dikenali dan digunakan dalam masyarakat Arab pada zaman jahiliah lagi dan berterusan hingga ke
zaman Rasulullah s.a.w., para sahabatnya dan generasi seterusnya pada kurun pertama dan kedua Hijrah.
Tamadun Parsi juga didapati telah menggunakan kapur barus. Bahkan lebih awal daripada itu, didapati
tamadun Greek telah mengenali dan menggunakan gaharu, kapur dan kayu hitam dari Nusantara.
Pengetahuan mereka tentang komoditi-komoditi tersebut telah mendahului generasi zaman Abū Zayd al-
Sīrāfiy serta penyalur maklumat pada kurun ke-3 dan ke-4 Hijrah.
Laluan Perdagangan Ke Kedah Tua Pada Kurun Ke-3H-4H
Hakikatnya, saudagar Arab tegar belayar hingga ke penempatan yang mereka tahu mempunyai hasil yang
lumayan. Secara umumnya, jalan pelayaran mereka ke timur ditonjolkan sebagai menuju al-Hind iaitu
rantau India dan kemudiannya al-Ṣīn iaitu China. Memandangkan rantau India adalah luas, sangat penting
untuk diperincikan lokasi-lokasi persinggahan perdagangan dalam kawasan tersebut. Ibn Khurdādhbih
(2014) memberikan perincian turutan perjalanan yang biasa dilakukan oleh pedagang. Kebiasaannya bagi
pelayaran ke Kepulauan Melayu, kapal mereka bergerak daripada Sirindib yang dikenali sekarang sebagai
Sri Langka. Kapal akan menuju mengikut turutan berikut; al-Nakbālūs (Pulau Nicobar), Kedah Tua, Bārūs
(bagi pelayar Arab ialah yang dikenali sekarang sebagai Sumatera Utara), Jābah (Palembang), Shalāhiṭ,
Harlaj (Sumatera Barat), dan tempat-tempat lain yang mempunyai tanaman herba-herba beraroma.
Perjalanan seterusnya untuk ke China akan melalui Māyīṭ (di Kepulauan Riau), Jazīrat Tiyūmah (Pulau
Tioman), Qāmirūn (Khmer), al-Ṣanf (Champa) dan Lūqīn (Hanoi). Pelayar Arab mengira Lūqīn sebagai
bandar negeri China yang pertama dijejaki jika pelayar bergerak dari arah barat.
Meninjau kepada turutan laluan saudagar Sulaymān al-Sīrāfiy pula, ia adalah sebagaimana
berikut; Siraf, Masqat, Kollam, Pulau Nicobar, Kedah Tua, Pulau Tioman, pinggir Hanoi, Hainan dan Canton.
Adapun laluan Ibn Wahb al-Qurashiy, maklumat tentangnya hanya menyebut bahawa beliau berlepas dari
Siraf untuk ke China sehingga sampai ke ibukotanya yang dinamakan Khamdān, seterusnya untuk kembali
ke arah barat beliau singgah di Kedah Tua (al-Sīrāfiy, 1999).
Lokasi Jaringan Pembekal Kepada Kedah Tua Pada Kurun Ke-3H-4H
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 786 -

