Page 803 - Proceedings Collega2023
P. 803
(al-Sῑrāfiy, 1999). Menurut Wade (2011), gaharu Tanah Melayu dan Sumatera serta cendana memang
tersenarai sebagai barangan import dalam Song Huiyao Jigao atau Rangka Kumpulan Peraturan Pada
Dinasti Song pada kurun ke-10 dan ke-11 Masihi (sekitar ke-3H dan ke-4H). Pada masa lampau, kapur
Melayu adalah satu-satunya yang digunakan di seluruh dunia. Kapur China yang lebih murah dan kurang
bermutu hanya ditemui dan diusahakan pada kurun ke-17M (Roy, 2020; Hiraizumi, 1950; McCulloch, 1844,
Burkill, 1966).
Berhubung jaringan Kedah Tua menghala ke barat, pedagang Arab dan Parsi mempunyai peranan
yang signifikan. Kerajaan Bani Abbasiah pada zaman awalnya sekitar tahun 132-247H/749-861M
berperanan mengalihkan secara berperingkat jalan perdagangan Syam daripada Laut Merah ke Teluk Parsi
melalui Baghdad dan Basrah (al-Jāḥiẓ, 1935). Hal ini menyebabkan kegiatan perdagangan Syam dengan
rantau India semakin memberangsangkan (Ibn Baṭṭūṭah, 1964). Antara barang dagangan daripada rantau
India yang menarik minat saudagar-saudagar Syam ialah gaharu, kayu cendana dan kayu hitam (al-
Ḥusayniy, M. Ṣ). Manakala logam timah sampai ke negeri Syam dalam kuantiti yang sangat banyak (Dala’in
et al., 2012).
Sebelum sampai ke Syam, komoditi tersebut sampai terlebih dahulu di kawasan Iraq yang maju
dalam bidang keilmuan dan sains. Abu Bakr al-Rāziy (2000) seorang ilmuan perubatan yang menetap di
Baghdad pada kurun ke-3H (Ibn Abī Uṣaybi’ah, t.t.) dapat menggunakan kayu sepang untuk mengubati
penyakit kulit. Logam timah juga beliau senaraikan sebagai antara bahan keperluan dalam perubatan. al-
Khawārizmiy (t.t.) pula seorang ilmuan pada kurun ke-4H (al-Kattāniy, 1996) meneruskan legasi Ibn Ḥayyān
dengan menekankan kepentingan logam timah dalam bidang kimia. Beliau menjelaskan bahawa ilmuan-
ilmuan kimia pada zaman beliau telah meletakkan rumuz planet Musytari bagi logam timah, sebagaimana
logam-logam penting yang lain diletakkan rumuz nama objek-objek langit. Kapur dan cendana pula pernah
digunakan untuk mengubati penyakit lumpuh yang ditanggung oleh al-Jāḥiẓ pada 250H (Ibn al-‘Imād al-
Ḥanbaliy, 2012).
Selain pedagang Arab-Parsi terdapat juga pedagang-pedagang Yahudi al-Rādhāniyyah yang giat
belayar membawa barang dagangan dari barat ke timur dan dari timur ke barat. Mereka boleh bertutur
dalam bahasa Arab, Parsi serta bahasa pertuturan di Eropah seperti bahasa Latin, Slav dan Sepanyol
berdialek Andalus. Pedagang-pedagang ini dikatakan belayar dari barat bertempat di sebuah lokasi
bernama al-Manjah, yang mana al-Ḥamawiy (1995) sendiri tidak dapat mengenalpasti kedudukannya dan
mengiranya sebagai tempat kaum bukan Arab. Pedagang Yahudi tersebut bergerak daripada al-Manjah ke
al-Faramā (Pelusium), sebuah penempatan pesisir pantai Mesir yang menghala ke tenggara Laut
Mediterranean. Mereka kemudiannya meneruskan perjalan membawa barang dagangan mereka melalui
jalan darat menuju ke al-Qulzum di pesisir barat Laut Merah. Seterusnya titik perjalanan mereka dari al-
Qulzum berarah ke al-Jarr (pesisir Pantai Madinah), Jeddah (pesisir Pantai Mekah), Sindh, rantau India dan
China. Kemudian daripada arah China, mereka akan membuat perjalanan pulang dengan membawa
barang dagangan dunia timur untuk diniagakan di lokasi-lokasi sebelah barat antaranya gaharu dan kapur
barus. Antara persinggahan seterusnya ialah al-Qulzum, Pelusium, dan negara Rom termasuk
Constantinople (Ibn Khurdādhbih, 2014). Berkenaan identiti pedagang-pedagang ini, ada yang
menisbahkannya kepada bandar al-Rādhān di Baghdad. Begitupun, pengkaji memilih kenyataan Haddad
(t.t.) seorang sasterawan dan penterjemah Iraq beragama Yahudi yang dalam penyuntingannya bagi
terjemahan bahasa Arab untuk karya pengembara Yahudi Andalus bernama Benjamin of Tudela. Haddad
menyatakan bahawa al-Rādhāniyyah adalah dinisbahkan kepada sebatang sungai yang orang Arab
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 790 -

