Page 765 - Proceedings Collega2023
P. 765
Adat membuang sial sangat bertentangan dengan ajaran Islam walaupun adat tersebut
merupakan budaya masyarakat setempat. Miera dalam novel Penebus Kalbu (2017) juga menegaskan
kepada Lian bahawa perkara penting dalam perkahwinan ialah akad nikah dan pemberian mas kahwin.
Wang hantaran bukanlah perkara penting. Wang hantaran yang dikenakan dengan kadar yang mencecah
puluhan ribu ringgit hanya akan membebankan pasangan yang berhasrat untuk mendirikan rumah tangga.
Kadar wang hantaran yang tinggi akan menyebabkan pihak lelaki atau wanita terpaksa berhutang. Amalan
berhutang akan merosakkan diri sendiri dan permintaan yang berlebihan tidak sesuai dan merosakkan
tamadun bangsa dan etnik itu sendiri.
Hukum Adat dan Nilai Etnik Cina
Selain itu, etnik Cina juga memiliki hukum adat berdasarkan budaya mereka yang tersendiri.
Budaya etnik Cina adalah berteraskan nilai keunggulan dan nilai kecinaan. Nilai inilah yang membezakan
etnik Cina dengan etnik lain. Bagi etnik Cina, salah satu budaya dan adat yang sangat dekat dengan
masyarakat di Malaysia adalah sambutan Tahun Baru Cina dan upacara melambung Yee Sang. Yee Sang
merupakan hidangan penting yang perlu disediakan semasa sambutan Tahun Baru Cina. Upacara ini
diadakan bersama-sama keluarga. Yee Sang dihidangkan sebagai simbolik dan memiliki makna tersendiri
bagi perayaan Tahun Baru Cina. Budaya dan adat ini ada disebutkan dalam novel Nyanyian Musim Rusuh
(2017) seperti berikut:
Adat turun-temurun dengan cara melambung Yee Sang ke udara dengan penyepit sambil
bersama-sama memberi ucapan selamat tanda bermulanya musim baharu yang aman
dan bahagia.
(Nyanyian Musim Rusuh, 2016, p.144)
Menurut Suhaidah Abd Wahab (2018, pp. 3-9), etnik Cina percaya bahawa semakin tinggi Yee
Sang diangkat semasa digaul maka lebih banyak kemakmuran yang bakal dinikmati sepanjang tahun.
Menu ini biasanya disajikan sebagai hidangan pembuka dan dianggap sebagai simbol penyatuan,
kemakmuran dan lambang kemurahan rezeki yang akan diperoleh sepanjang tahun tersebut. Dalam
bahasa Cina juga, perkataan “Yee” bermaksud ikan yang bermaksud kekayaan berkekalan. Manakala
perkataan “Sang” membawa maksud mentah atau hidup serta kebangkitan. Oleh itu, Yee Sang
melambangkan simbol kemewahan dan panjang umur.
Seterusnya inti Yee Sang yang terdiri daripada bahan-bahan seperti ikan mentah (salmon), hirisan
sayur-sayuran seperti lobak merah, lobak putih, bijan, kekacang yang ditumbuk, halia, buah abung
(pomelo), jus limau, serbuk lima rempah dan keropok ranggup. Kesemua inti tersebut akan disusun secara
rapi di atas sebuah pinggan bulat. Sebelum proses menggaul Yee Sang dimulakan, sos plum yang
mempunyai rasa masam dan manis akan dituang dan disusuli dengan tindakan memicit jus limau pada
ikan mentah bertujuan untuk mengelakkan kemasukan bakteria selain menyedapkan rasa ikan itu.
Selepas sos dituangkan, tibalah detik-detik yang dinanti-nantikan oleh semua, iaitu proses
menggaul Yee Sang. Proses menggaul Yee Sang mempunyai cara yang tersendiri kerana semua inti Yee
Sang itu digaul bersama secara agresif menggunakan penyepit oleh mereka yang berkumpul di keliling meja
bulat. Mereka yang berkumpul di keliling meja bulat digalakkan untuk menjerit perkataan ‘Lou Hei’.
Mereka anak-beranak dan saudara terdekat meraikan makan besar dengan
mengamalkan adat Loi Hei.
(Nyanyian Musim Rusuh, 2016, p.144)
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 752 -

