Page 763 - Proceedings Collega2023
P. 763
perniagaan ibu Geetha. Ini sesuatu yang tidak bagus diamalkan. Bukan budaya
Melayu. (Jendela Menghadap Jalan, 2009, p.52)
Berlama-lama di rumah orang yang dikunjungi bukanlah budaya masyarakat Melayu. Tetamu
perlu memiliki kesedaran yang tinggi dan memahami peranan mereka sebagai tetamu. Dalam hal ini, adat
merupakan unsur penting mendasari perhubungan sosial Melayu atau kebudayaan Melayu. Adat juga
melambangkan nilai hidup dan pemikiran etnik Melayu.
Hukum Adat dan Nilai Islam
Gabungan adat dengan nilai Islam penting untuk membentuk tingkah laku mulia yang beracuan
akal budi sekali gus menyerlahkan etika etnik Melayu. Menurut Wan Norhasniah Wan Husin (2015, p. 84)
pertautan antara adat dengan nilai Islam, secara tidak langsung dapat mengukuh dan melebarluaskan lagi
identiti Melayu:
Dunia budaya dan adat resam orang Melayu yang penuh dengan budi bahasa dan sopan
santun yang tinggi.
(Nyanyian Musim Rusuh, 2016, p.44)
Petikan ini menunjukkan budaya dan adat resam orang Melayu yang penuh dengan budi bahasa.
Budi bahasa membentuk etika individu yang baik. Menurut Abdul Rahman Md. Aroff (2008, p. 95)
Keunggulan peribadi dibentuk daripada nilai seperti baik hati, empati, bertolak ansur, kecenderungan
yang baik, kesyukuran dan kepekaan sosial. Tegasnya, budi dikaitkan dengan sikap mengambil berat
terhadap orang lain dan orang yang berbudi diberi balasan yang serupa.
Nilai dan etika dalam masyarakat Melayu sangat berkait rapat dengan nilai yang tinggi dari segi
kebenaran, kebaikan dan keindahan (Mohd Rashid Md Idris, 2011, p.58). Nilai dan etika etnik Melayu yang
berasaskan kepada imej agama Islam mendorong kepada perasaan bertolak ansur dan tolong-menolong
dalam mencapai matlamat keharmonian sejagat.
Adat yang Menyalahi Hukum Agama
Terdapat juga sebahagian dari adat-adat orang Melayu yang menyalahi hukum agama akibat
percampuran dengan kepercayaan animisme masyarakat terdahulu. Adat perlu diiringi dengan pegangan
dan amalan beragama seperti saranan pada petikan di bawah:
“Dalam kehidupan, kita dipagari dengan adat dan agama. Dalam agama itu kita ada
pegangan dan pendirian masing-masing Apa yang penting, adat tidak boleh
mengatasi agama. Adat adalah perkara yang dilakukan turun-temurun. Manusia
yang menciptakan adat. Sedangkan agama datang daripada Tuhan”.
(Penebus Kalbu, 2017, p.138-139)
Dalam petikan ini terdapat penegasan bahawa adat tidak boleh mengatasi agama dari segala
aspek. Pertimbangan etika diperlukan untuk menentukan sama ada adat tersebut boleh dijunjung serta
sesuai diamalkan atau ditinggalkan kerana bertentangan dengan ajaran agama terutamanya agama Islam:
“Segala amal dan perbuatan pula terhimpun dalam petua dan pantang larang yang
tidak boleh sama sekali dilanggari. Menolak warisan dan tradisi orang tua-tua itu
derhaka namanya. Sedangkan derhaka itu pula adalah seburuk-buruk perbuatan”.
(Penebus Kalbu, 2017, p.138-139)
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 750 -

