Page 769 - Proceedings Collega2023
P. 769
manik berwarna warni. Zainun juga dipakaikan dengan perhiasan kalung kerawang daripada emas suasa
dan menghiasi dada Zainun.
Di sepanjang majlis perkahwinan, paluan gabbang daripada paduan bunyi sepuluh keping kayu
ponggil dimainkan. Beberapa das bunyi pula dilepaskan menandakan bahawa pengantin lelaki telah tiba.
Pengantin lelaki diusung berarak menghampiri laman rumah pengantin perempuan dan di sisinya
terdapat beberapa orang perempuan membawa hantaran untuk pengantin perempuan. Pengantin lelaki
memakai baju yang diperbuat daripada baldu hitam yang mempunyai taburan sulaman manik labuci pada
leher, dada, lenggan baju dan tepi bawah baju. Pengantin lelaki juga memakai perhiasan kepala ala songket
yang dihias sederhana dengan sulaman manik keemasan. Menjadi adat pengantin lelaki disambut dengan
‘ngamanuk-manuk’, iaitu pengantin lelaki berlegar melakukan beberapa pusingan sebelum mendekati
anak tangga rumah pengantin perempuan. Setelah selesai, pengantin lelaki dibenarkan naik ke rumah
dan meneruskan upacara ‘nagnikah’.
Nagnikah merupakan upacara yang menandakan zaman bujang berakhir.
Memandangkan Zainun merupakan orang Islam, dia dinikahkan untuk upacara membatalkan air
sembahyang. Setelah upacara tersebut selesai, upacara tepung tawar pula bermula. Upacara ini dipanggil
‘penemmil’ yang kemudiannya disusuli dengan adat ‘menemo’, iaitu Zainun dan suaminya disuap nasi putih
bersama- sama telur ayam rebus oleh salah seorang wakil keluarga. Upacara itu tidak berakhir di situ.
Kedua-dua pengantin kemudiannya di bawa keluar untuk majlis bersanding. Kedua-duanya dibaringkan
serentak sebanyak tiga kali berturut-turut di atas katil peraduan. Adat-adat ini merupakan perlambangan
etnik Sungai Buludupi:
“Demikianlah adat yang mewakili suku kaum bangsanya, tujuannya penuh tersirat
dengan nilai perlambangan. Walaupun kelihatan agak ganjil tetapi itulah budaya
warisan sejak turun temurun, identiti bangsanya”.
(Ayah, 2019, p.51)
Petikan dan penerangan terperinci tentang adat etnik Sungai Buludupi ini menunjukkan hukum
adat yang diamalkan dan menyerlahkan identiti etnik ini. Selain etnik Sungai Buludupi, di pedalaman Sabah
terdapat suku kaum Penan. Dalam novel Penebus Kalbu (2017), suku kaum ini juga memiliki adat yang
tersendiri seperti petikan di bawah:
“Suku kaum Penan, yang sering bersama-sama ayah mencari pokok Gaharu juga
datang memberikan penghormatan terakhir pada mayat ayah. Ketuanya
menyerahkan sumpit panjang- senjata paling terkenal masyarakat Penan - sebagai
rasa penghargaan tidak ternilai mereka”.
(Penebus Kalbu, 2017, p.18)
Petikan ini menunjukkan dalam suku kaum Penan, penghormatan terakhir diberikan kepada
mayat, iaitu mereka yang banyak berjasa kepada kaum mereka ketika mereka hidup di dunia dahulu. Ketua
dari suku kaum Penan akan menyerahkan sumpit panjang yang merupakan senjata paling terkenal dalam
masyarakat Penan. Penyerahan sumpit panjang tersebut juga adalah simbolik kepada rasa penghargaan
yang tidak ternilai kepada orang yang banyak berbuat kebaikan dan mendatangkan manfaat kepada suku
kaum Penan.
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 756 -

