Page 764 - Proceedings Collega2023
P. 764
Petikan ini menunjukkan bahawa segala amal dan perbuatan yang berkaitan dengan petua dan
pantang larang dalam masyarakat Melayu merupakan satu tradisi yang tidak boleh dilanggar dan menjadi
adat serta ketinggian budi etnik Melayu. Adat merupakan perkara penting yang diamalkan oleh orang
Melayu. Menurut Asmawati Suhid, ‘urf atau adat diakui daripada segi bahasa bermaksud dikenali.
Daripada segi istilah pula, adat merupakan perkara-perkara yang biasa dilakukan oleh umum berulang kali
sehingga menjadi kebiasaan mereka. Dengan kata lain, ‘urf’ ialah sesuatu amalan atau kebiasaan yang
dilakukan dan tidak bertentangan dengan syariat Islam, maka ia diterima dan diakui. Manakala amalan
atau kebiasaan yang bertentangan dengan syariat Islam adalah tertolak.
Ini bermaksud selagi mana sesuatu amalan atau kebiasaan berasaskan budaya atau adab yang
tidak bertentangan atau menyalahi nas syarak, maka adat tersebut boleh diamalkan. Petikan di bawah
memperlihatkan pengalaman yang dilalui oleh rakan Miera dalam novel Penebus Kalbu (2017) yang
diminta untuk minum minuman keras sebagai adat menyambut tetamu:
Miera menerangkan pengalaman rakannya yang mengajar di Hulu Belaga yang
diminta untuk minum seteguk dua air tuak di sebuah perkampungan. Berkali-kali
penghuni rumah panjang berkenaan meminta rakannya untuk minum sebagai
menghormati adat mereka untuk menyambut tetamu. Berkali-kali juga rakannya
bertegas menolak kerana minum minuman keras memang ditegah oleh agama
Islam.
(Penebus Kalbu, 2017, p.138-139)
Petikan ini menerangkan tentang adat menyambut tetamu yang bertentangan dengan amalan dan
pegangan orang Melayu beragama Islam. Dalam hal ini, adat tidak boleh mengatasi agama. Adat yang
diamalkan oleh etnik orang Asli misalnya, tidak sesuai diamalkan oleh etnik Melayu yang menganut agama
Islam. Contoh yang jelas dalam novel Penebus Kalbu (2017), iaitu menolak untuk meminum minuman yang
memabukkan seperti air tuak merupakan adat yang diamalkan oleh etnik di pendalaman Sarawak tetapi
tidak oleh etnik Melayu yang beragama Islam.
Selain itu, ada antara adat etnik Melayu juga tidak sesuai diamalkan oleh etnik itu sendiri seperti
adat pemberian hantaran dan upacara persandingan yang boleh membawa kepada perbuatan negatif
seperti pembaziran:
Miera juga panjang berbicara tentang adat masyarakat Melayu yang penuh dengan
pembaziran. Dia benar-benar ingin supaya aku faham.
(Penebus Kalbu, 2017, p.138-139)
Dalam novel Penebus Kalbu juga ditampilkan pertimbangan etika dengan menolak adat buang sial.
Adat membuang sial diamalkan oleh etnik bukan Islam untuk memastikan sesebuah hubungan
perkahwinan berkekalan seperti yang diamalkan oleh etnik di Sarawak:
“Katanya, hantaran, pertunangan, persandingan dan upacara tepung tawar, buang
pelaja, iaitu untuk membuang sial supaya mengekalkan hubungan perkahwinan
semuanya tidak terdapat dalam agama Islam. Pelaja masyarakat Melayu Sarawak
ialah sirih yang telah dijampi?”.
(Penebus Kalbu, 2017, p.138-139)
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 751 -

