Page 759 - Proceedings Collega2023
P. 759
Pengenalan
Dalam era globalisasi yang semakin pesat, penulis atau pengarang novel-novel remaja sering
memfokuskan naratif yang mencerminkan masyarakat yang beraneka ragam. Salah satu tema yang
dinaratifkan adalah hukum adat dalam masyarakat berbilang etnik (Nuroniyah & Maula, 2022), (Rifqi,
2021), (Alfia et al., 2021), (El Falahy, 2020).
Hukum adat merujuk kepada peraturan dan norma masyarakat tertentu mengikut tradisi dan
kebiasaan yang telah dipegang atau diwarisi secara turun-temurun yang melambangkan kelompok
budaya, etnik, suku, bangsa atau kaum (Snigireva, 2022). Hukum adat berfungsi sebagai pengatur kepada
kehidupan sosial, hubungan antara individu, keluarga, dan masyarakat (Asonova, 2019). Hukum adat
masyarakat di Malaysia banyak terkait dengan adat perkahwinan, perwarisan harta, jual-beli barang,
pemilikan tanah dan perkara-perkara yang berkaitan dengan struktur masyarakat (Nuroniyah & Maula,
2022), (Fimi, 2022). Setiap etnik memiliki hukum adat mereka yang tersendiri (Sugiarti et al., 2018).
Analisis mengenai hukum adat dalam novel remaja adalah penting bagi memahami bagaimana
penulis merentasi sempadan budaya dalam menggambarkan kompleksiti masyarakat yang pelbagai
(Moses, 2014), (Asonova, 2019). Perkara ini dapat menjelaskan bagaimana budaya dan tradisi berfungsi
membentuk watak-watak dan plot dalam novel remaja (Heinecken, 2023), (Chambers, 2012).
Novel remaja merupakan platform yang membolehkan pembaca remaja memahami dan
menghargai kepelbagaian budaya dan masyarakat berbilang etnik. Dalam konteks ini, penulis atau
pengarang novel-novel remaja mengintegrasikan unsur-unsur hukum adat dalam naratif mereka (Banack
et al., 2022), (DiMarco, 2023).
Artikel ini akan meneliti lima buah novel remaja terpilih, iaitu novel Ayah (2019), Penebus Kalbu
(2017), Nyanyian Musim Rusuh (2016), Nanyang (2015) dan Jendela Menghadap Jalan (2008) yang
menonjolkan hukum adat dalam konteks masyarakat berbilang etnik (Mahadi et al., 2019). Artikel ini
menumpukan bagaimana hukum adat digambarkan, bagaimana hukum adat mempengaruhi tindakan
watak dan apakah keistimewaan hukum-hukum adat tersebut dalam menggambarkan nilai sesebuah
etnik. Selain itu, artikel ini akan mengkaji kesan hukum adat terhadap perkembangan plot dan hubungan
antara watak-watak dalam novel tersebut.
Objektif dan tujuan kajian adalah untuk menjelaskan hukum adat sebagai alat naratif dalam
mewujudkan cerita-cerita yang berdaya tarikan. Sisipan hukum adat dalam novel-novel remaja diteliti
keupayaannya dalam menyampaikan wawasan tentang kepelbagaian budaya. Sekaligus memberi
kesedaran kepada pembaca remaja mengenai perbezaan antara budaya dan menggalakkan toleransi
terhadap masyarakat berbilang etnik. Kajian ini memberikan sumbangan yang signifikan kepada
pemahaman tentang bagaimana novel remaja boleh menjadi alat yang kuat dalam menggambarkan
budaya dan masyarakat yang berbilang etnik.
Tinjauan Literatur
Hukum adat memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat pelbagai etnik di seluruh
dunia. Setiap perbezaan budaya, tradisi, dan adat istiadat yang dibawa serta dipelihara oleh setiap suku
atau etnik, tercermin dalam sistem hukum adat mereka yang tersendiri (Risna, 2021). Hukum adat dalam
masyarakat berbilang etnik memberikan pemahaman tentang aspek-aspek unik yang menjadi nadi
kehidupan masyarakat (Pradhani, 2021). Hukum adat penting dalam usaha untuk menjaga nilai kearifan
tempatan (Fatkhul & Mucharom, 2016).
Kajian berhubung hukum adat dijalankan untuk mendokumentasikan tradisi hukum adat yang
dianut oleh masyarakat pelbagai etnik. Hal ini kerana hukum adat memiliki akar nilai yang kuat dan
memberi pengaruh yang besar kepada tingkah laku sosial dan pembentukan pola budaya masyarakat
(Kurnia & Syahrudin E, 2022). Pendokumentasian dan naratif tentang hukum adat penting dalam usaha
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 746 -

