Page 695 - Proceedings Collega2023
P. 695
Satu daripada kuih tradisional Melayu popular yang terhasil daripada ubi keladi sebagai sumber
bahan utama ialah talam keladi (di Malaysia) atau boko keladi (di Thailand). Kuih talam keladi atau boko
keladi ialah sejenis kuih talam yang diperisa dengan keladi rebus yang dilecek di bahagian atas (berwarna
ungu) dan keladi yang dipotong dadu sebelum diadun dengan bancuhan tepung di bahagian bawah
(berwarna putih). Rasanya yang lemak masin manis sangat sesuai dijadikan hidangan kepada tetamu yang
datang. Kuih ini biasanya disediakan semasa adanya keraian atau sambutan sesuatu majlis (kenduri
kendara). Berikut disertakan pandangan responden berkenaan hal ini.
(9) Antara kuih talam yang sedap ialah talam keladi. Resepinya ada pelbagai cara, ikut orang juga.
Yang biasa mak saya ajar, kita buat dua lapisan, dua dua letak keladi. Yang atas keladi yang
direbus dan dilecek, campur tepung dan santan. Yang bahagian bawah, keladinya dipotong
dadu. Jadi bila makan, memang terasa keenakan keladinya. (2[T/w/81])
(10) Buatnya sedikit cerewet. Sebab itu kuih ni agak istimewa. Biasanya kita buat jika ada kenduri
kendara. Atau ada sambutan tertentu. Kuihnya kan cantik, potong pula elok elok, letak atas
pinggan yang elok. Jadi jika dihidang talam keladi ni, día nampak istimewa sungguh.
(3[M/w/82])
Gambar 11: Kuih talam keladi atau boko keladi
Kelapa
Kelapa atau nama saintifiknya Cocos nucifera ialah satu-satunya spesies tumbuhan palma yang
wujud dalam genus Cocos keluarga Arecaceae. Pokok ini hidup subur di hampir semua kawasan tropika
(Hean Chooi Ong, 2006). Sebagai ‘pokok seribu guna’, ia dimanfaatkan dalam kebanyakan masyarakat yang
menggunakan hampir semua bahagian pokok untuk pelbagai tujuan, daripada pangkal hingga ke hujung.
Pokok ini sememangnya adalah pokok wajib yang ditanam di kawasan rumah, khususnya penduduk
kawasan kampung (Siti Norlizaiha Harun & Azira Ibrahim, 2011).
Daripada keseluruhan bahagian pokok, buahnyalah yang paling menjadi rebutan. Hal ini demikian
kerana, kepelbagaian manfaat yang boleh diolah daripada buah kelapa. Air dari buahnya sangat
menyegarkan untuk diminum, isinya boleh dimakan begitu sahaja semasa muda atau dijadikan santan jika
diperah bagi yang sudah tua. Sabut dan tempurungnya pula boleh dijadikan bahan pembakar. Oleh hal
yang demikian, dalam kebanyakan kuih-muih tradisional Melayu, sama ada di Malaysia mahupun di
Thailand Selatan, isi kelapa antara bahan sumber utama yang penting digunakan, sama ada melibatkan
santan, ataupun dalam bentuk parutan (isi yang sederhana muda).
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 682 -

