Page 690 - Proceedings Collega2023
P. 690

Kelapa, pokok serba guna, wajib ada. Pulut pun tanam sendiri. Boleh buat tepung atau tanak
                          begitu sahaja. Semua itu boleh jadi makanan yang sedap dan berkhasiat. (12[T/w/84])
               Pisang

                       Pokok pisang ialah sejenis tumbuhan pelbagai guna yang biasa ada di halaman rumah penduduk
               tempatan (halaman depan, belakang atau tepi rumah), sama ada di Malaysia mahupun di Thailand Selatan,
               khususnya di kawasan perkampungan.  Selain mudah ditanam dan hidup, faktor kegunaannya yang tinggi
               dari setiap bahagian pokok ini menyebabkan pokok pisang adalah pokok utama yang menjadi pilihan ramai
               untuk ditanam di halaman rumah (Ahmad, Abu Bakar, & Ibrahim, 2006).  Daun pisang misalnya, sering
               digunakan untuk membungkus makanan (nasi lemak dan kuih).  Selain itu, pelepahnya boleh digunakan
               untuk  dibuat  tali  selepas  dikeringkan,  manakala  batang  pisang  boleh  dibuat  rakit  untuk  kegunaan
               menyeberang parit atau sungai.

                       Pisang atau nama saintifiknya musa paradisiaca ialah sejenis buah yang kaya dengan pelbagai
               khasiat dan kebaikan. Antaranya, pisang ialah sejenis buah dengan khasiat penambah tenaga dengan zat
               besi yang tinggi, yang boleh digunakan untuk merawat anemia, usus dan perut, mengubati luka akibat
               terbakar,  malah  boleh  digunakan  sebagai  bahan  untuk  produk  kecantikan  bagi  menaikkan  seri  wajah
               (Zahra, Khalid, Aslam, & Sharmeen, 2021).  Menyedari kepelbagaian khasiat yang terdapat pada pisang,
               orang  Melayu  telah  mengambil  kesempatan  untuk  mengolahnya  dengan  menjadikan  pisang  sebagai
               sumber utama dalam penyediaan kuih-muih tradisional.  Kuih-muih yang terhasil daripada pisang sebagai
               sumber  utama  bahan  bukan  sahaja  sedap  dan  mengenyangkan,  malah  mempunyai  khasiat  yang
               diseimbangkan dengan keperluan tubuh badan manusia.  Bahan utama ini boleh diperoleh dengan mudah
               kerana sering ditanam di halaman rumah, sama ada di bahagian depan, belakang, ataupun di tepi rumah.





















                                            Gambar 3: Pokok pisang dan buah pisang
                       Satu daripada kuih yang popular di kedua-dua negara yang dihasilkan dari pisang sebagai sumber
               bahan utama ialah kuih lepat pisang (di Malaysia dan juga di beberapa kawasan di Thailand Selatan) atau
               juga dikenali dengan kuih pisang (atau khanom kluai dalam bahasa Thai) di Thailand.  Kuih dari kategori
               kuih yang dikukus ini biasanya dijadikan hidangan sarapan pagi atau minum petang.  Kebiasaannya jenis
               pisang yang digunakan untuk resepi lepat pisang ialah pisang kapas, pisang nipah atau pisang berangan.
               Hal ini demikian kerana isinya yang lebih halus dan sangat manis apabila telah masak ranum (tanpa perlu
               dicampur dengan gula).  Berikut adalah pandangan berkenaan hal ini daripada responden yang ditemu
               bual.




               International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 677 -
   685   686   687   688   689   690   691   692   693   694   695