Page 692 - Proceedings Collega2023
P. 692
Ubi
Selain pokok pisang, pokok ubi juga adalah antara pokok yang sering ditanam di sekeliling rumah,
terutama di kawasan kampung. Dalam istilah umum, ubi biasanya merujuk kepada beberapa jenis
tumbuhan berumbi, dan umbinya boleh dimakan (Andres, Adeoluwa, & Bhullar, 2016). Antara jenis-jenis
ubi yang popular digunakan dalam penghasilan kuih-muih tradisional Melayu di Malaysia dan Thailand
Selatan ialah ubi kayu, ubi keledek dan ubi keladi.
Ubi kayu atau nama saintifiknya manihot esculenta ialah spesies tumbuhan tropika dan subtropika
dari keluarga Euphorbiaceae yang terkenal sebagai sumber utama karbohidrat dan daunnya sebagai
sayuran (Dossou-Aminon, Dansi, & Adjatin, 2017). Dalam kajian yang dijalankan oleh mereka, kandungan
makronutrisi dalam 100g ubi kayu yang mengandungi 162kcal kalori, 38.2g karbohidrat, 0.5g serat, 0.8g
protein dan 0.2g lemak, sangat bermanfaat untuk mengelakkan peningkatan tekanan darah, membantu
mencegah anemia, membantu melancarkan sistem percernaan, membantu dalam peningkatan berat
badan secara sihat, dan dapat mencegah kenaikan paras gula dalam darah. Menyedari ubi kayu juga boleh
dijadikan hidangan utama pengganti nasi sebagai pembekal karbohidrat, orang Melayu telah mengolahnya
menjadi makanan yang bukan sahaja enak dan mengenyangkan, malah berkhasiat.
Gambar 6: Pokok ubi dan ubi kayu
Antara contoh kuih tradisional Melayu yang dihasilkan dengan sumber bahan utamanya ubi kayu
ialah kuih bingka ubi (di Malaysia) atau juga dikenali sebagai kuih baeko ubi di Thailand. Kuih ini dihasilkan
dengan memarut ubi kayu dan dicampur dengan santan pekat, sebelum dibakar dengan suhu sederhana.
Kuih bingka ubi atau baeko ubi biasanya dihidang untuk meraikan tetamu istimewa yang datang
bertandang ke rumah. Berikut disertakan pandangan responden berkenaan hal ini.
(5) Parut dahulu ubinya, kemudian tos supaya air getahnya keluar. Baru baeko kita nanti cantik
dan lebih lembut. Campur dengan santan pekat dan gula. Boleh letak gula pasir atau gula
kabung (nisan). Kemudian bakar. Kalau bakar dengan sabut kelapa lagi sedap. Ada bau día yang
buat lagi sedap tu. (13[T/w/72])
(6) Bingka ubi ni istimewa sikit. Kalau dahulu jarang la dibuat untuk makan suka-suka. Biasanya
kita buat untuk meraikan tetamu yang datang ke rumah. Misalnya abang atau kakak dan
keluarganya yang datang dari jauh. Seronok dapat berkumpul semula adik beradik.
(10[M/w/79])
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 679 -

