Page 689 - Proceedings Collega2023
P. 689
berumur 75 tahun). Dapatan setiap temu bual kemudiannya ditranskrip dan diklasifikasikan mengikut
tema utama iaitu sumber bahan dalam penghasilan kuih-muih Melayu, sebelum diselusuri maklumat
tersebut dengan maklumat tambahan daripada kajian-kajian lepas untuk mengukuhkan dapatan.
Gambar 2: Sesi demonstrasi penyediaan kuih tradisional
Analisis dan Perbincangan
Hasil penelitian melalui temu bual bersama responden dari kedua-dua negara, serta sokongan input
tambahan daripada kajian lepas telah memperlihatkan, penyediaan kuih-muih tradisional Melayu di
kedua-dua negara negara dihasilkan dengan menggunakan sumber bahan yang hampir sama. Kearifan
lokal mengenai hal ini biasanya dimanifestasikan melalui pemanfaatan apa sahaja yang ada di halaman
rumah (sama ada di hadapan, belakang, mahupun tepi rumah) untuk dijadikan hidangan yang bukan
sahaja mengenyangkan, malah cukup berkhasiat, walaupun hanya hidangan pencuci mulut.
Pisang, ubi, kelapa dan pulut ialah antara empat (4) bahan asas yang kebiasaannya ‘wajib’ ada dalam
penyediaan kuih-muih tradisional Melayu yang terdapat di Malaysia dan Thailand Selatan, sama ada
melalui kaedah goreng, kukus, bakar, ataupun rebus. Pemilihan sumber bahan utama dalam penghasilan
kuih-muih ini pula melambangkan kearifan wanita (sebagai ibu yang menjadi pemain utama di gelanggang
dapur) menyediakan makanan yang bukan sahaja enak, malah berkhasiat dan mengenyangkan.
Penghasilan kuih-muih daripada sumber bahan yang ada di halaman ini juga menjadi bukti akan kerajinan
dan kecekalan mereka (para wanita) membantu suami dalam mengelola rumah tangga kerana
kebiasaanya, tanaman yang ada di halaman rumah (baik di hadapan, belakang mahupun di tepi) adalah
hasil tangan para ibu, sementara suami masing masing sibuk mengerjakan kebun, ladang atau sawah di
tempat yang lebih jauh. Berikut disertakan pandangan responden mengenai hal ini.
(1) Mak pada tok pernah pesan, sebagai ibu, kita mesti bijak mengolah apa sahaja jadi rezeki yang
boleh dinikmati sekeluarga. Maklum kami dulu orang susah. Tapi Alhamdulillah, tak pernah
perut kosong. Apa sahaja yang ada di sekeliling rumah, semua boleh jadi makanan. Ubi,
pisang, keledek, kita olah jadi makanan yang bukan sahaja sedap, tetapi berkhasiat. Yang
penting kena rajin. (13[M/w/85])
(2) Dari duduk saja, kita sebagai mak, perlu usaha juga. Tanam apa yang boleh keliling rumah.
Bantu suami. Mereka sibuk di kebun, atau sawah. Pisang, ubi. Semua tu boleh jadi makanan.
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 676 -

