Page 992 - Proceedings Collega2023
P. 992
Kaum Orang Asli di Kelantan merupakan antara kaum yang menjadi mangsa ketidakstabilan politik secara
langsung dan tidak langsung semenjak dari tahun 1990-an hingga sekarang. Oleh kerana disebabkan
ketidakstabilan politik, usaha pewartaan tanah tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh yang cepat kerana
tidak dapat capai kata sepakat dalam hal politik dan sistem urus tadbir pemerintahan. Kenyataan ini
dinyatakan oleh seorang Informan 32:
“Dalam hal pewartaan tanah ini kalau kita balik pada kisah lalu sebenarnya kenapa proses pewartaan
ini lambat adalah kerana masalah ketidakstabilan politik sebenarnya sejak dari dahulu lagi antara
Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri mempunyai kuasa dalam hal ehwal
pentadbiran tanah manakala Kerajaan persekutuan pula ada kuasa bahagian urus tadbir hal ehwal
Orang Asli dibawah JAKOA. Jadi bila dua-dua pihak ini tidak selari macam mana masalah hendak
selesai. Yang menjadi mangsa dalam isu ini Orang Asli atau rakyatlah. Saya bukan nak menyalahkan
mana-mana parti, tapi hakikat sebenarnya mana-mana parti yang memerintah sepatutnya mereka
sama-sama duduk berbincang cari jalan penyelesaian dalam isu pewartaan tanah Orang Asli ini. Ini
tidak semua pihak nak salahkan jabatan tidak buat kerja dan sebagainya. Tapi hakikat yang
menyebabkan pewartaan ini lambat adalah disebabkan masalah politik yang tidak berkesudahan.”
Justeru, rumusan dapat ini, semua pihak terutama pihak Kerajaan Persekutuan dan pihak Kerajaan Negeri
sepatutnya perlu mengutamakan agenda membantu menyelesaikan masalah rakyat khususnya masyarakat
Orang Asli. Dengan wujudnya kerjasama daripada kedua-dua pihak bukan sahaja dapat membantu
menyelesaikan masalah pewartaan tanah bahkan dapat mengharmonikan masyarakat daripada perbalahan
dan persengketaan.
vi. Karenah birokrasi
Birokrasi merujuk kepada satu sistem pentadbiran dan pengurusan yang mempunyai pelbagai peringkat
atau proses, sering kali dikaitkan dengan pelbagai karenah dan peraturan. Birokrasi dalam organisasi
selalunya menjadikan suatu perkara itu perlu melalui proses atau prosedur yang kompleks dan berlapis,
akibatnya keputusan lambat dibuat. Hal ini boleh menimbulkan keresahan atau ketidakpuasan seseorang
khususnya apabila keputusan tidak memihak kepadanya. Bagi isu pewartaan tanah suku kaum Temiar di
Kelantan ini, pengkaji mendapati terdapat cabaran dari sudut karenah birokrasi yang melibatkan banyak
proses dan peringkat prosedur yang perlu dilalui oleh sesuatu permohonan untuk satu Tanah Rizab Orang
Asli (TROA) yang ingin diwartakan. Kenyataan ini dinyatakan oleh seorang Informan 33 yang menyatakan
seperti berikut:
“Kenapa masalah perwartaan tanah rizab Orang Asli ini lambat sebabnya kita perlu melalui banyak
peringkat atau gerak kerja sebelum warta. Apa yang saya boleh cerita secara ringkasnya, sebelum
kita hendak angkat permohonan sesuatu pos atau kampung Orang Asli ini kita perlu upah juru ukur
untuk pergi ke kampung dan buat ukuran keliling untuk buat sempadan. Kita buat ukuran keliling
sebab Orang Asli yang nak tanah mereka diukur dalam berkelompok dan diwartakan dibawah Tanah
Rizab Orang Asli (TROA). Satu lagi ukur keliling ini kos dia lebih murah berbanding ukur halus (lot).
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 979 -

