Page 708 - Proceedings Collega2023
P. 708
Informan adalah wanita etnik Melayu yang berasal dari Perak dan pasangannya pula berasal dari Selangor
daripada keturunan Jawa dan Minang. Mereka menetap di sebuah taman perumahan di Bandar Baru
Sungai Buloh, Selangor. Informan adalah suri rumah sepenuh masa dan berkelulusan ijazah sarjana muda.
Suami kepada informan adalah Penyelia Pembinaan di sebuah syarikat pembinaan milik Korea Selatan.
Pasangan ini mempunyai empat anak. Anak sulung pasangan ini telah melangsungkan perkahwinan pada
bulan Mei 2023.
Sejarah tradisi rewang dalam keluarga
Tradisi rewang sudah sebati dan menjadi praktis berterusan dalam keluarga sebelah suaminya, seorang
etnik Jawa yang kuat memegang kepada adat tradisi. Generasi Ahmad Tinggal (GAT) terdiri daripada tujuh
keluarga generasi pertama. Jumlah keseluruhan ahli GAT adalah seramai 50 orang dari generasi pertama
hingga ke generasi ketiga (semasa). Oleh yang demikian, amalan rewang sentiasa dilaksanakan pada setiap
majlis yang diadakan walaupun berskala kecil. Penglibatan seluruh ahli keluarga bergantung kepada jenis
majlis dan faktor setempat. Jika majlis itu kecil sifatnya maka ianya akan diurus bersama oleh beberapa
keluarga sahaja. Jika ianya berskala besar, biasanya ia akan disertai oleh seluruh generasi GAT, maka amalan
rewang akan lebih menyeluruh. Antara majlis yang melibatkan rewang oleh keluarga ini adalah kenduri
doa selamat, tahlil, majlis bertunang dan perkahwinan.
Kaedah Komunikasi dalam penstrukturan rewang
Informan menyatakan apabila beliau sekeluarga membuat keputusan untuk mengadakan majlis
pertunangan dan perkahwinan anaknya, beliau dan suami menyatakan hajat kepada semua ahli keluarga
bagi kedua belah pihak. Kaedah komunikasi bersemuka menjadi pilihan untuk responden dan ahli keluarga
GAT dalam fasa berkenaan. Oleh kerana kesemua ahli keluarga hadir bermesyuarat, maka komunikasi
bersemuka menjadi kaedah yang paling berkesan dalam merancang majlis. Bagi tujuan itu, ada fungsi
tertentu yang dilakukan dalam proses berkomunikasi yang akan dipikul oleh ahli keluarga tertentu. Dalam
konteks ini, ahli keluarga tertua dalam GAT iaitu abang sulung kepada suami informan mengambil peranan
sebagai Ketua GAT (rewang) dan bertanggungjawab membentuk struktur pengurusan rewang.
Dalam struktur kerja yang dirancang, Ketua GAT (rewang) akan menyelia dua orang floor manager (FM)
yang dilantik berdasarkan mesyuarat. Dua orang FM tersebut adalah seorang ahli GAT lelaki dan seorang
wanita. FM lelaki bertanggungjawab terhadap urusan logistik (dewan, fasiliti, aliran trafik, RELA dan lain-
lain) dan penyediaan makanan (katering). FM Wanita akan bertanggungjawab terhadap urusan nikah,
pergerakan pengantin, cenderahati dan menyantuni sanak-saudara yang hadir. Dibawah kedua FM ini
terdapat ahli-ahli jawatankuasa (AJK) yang dilantik bagi menguruskan setiap satu bahagian dengan setiap
bahagian mempunyai dua atau tiga orang AJK dan FM bertindak sebagai ketua yang menyelia.
Setiap generasi mempunyai ketuanya sendiri. Ketua generasi pertama (G1) dan kedua (G2) adalah individu
paling tua dalam generasi tersebut. Sebagai ketua, mereka perlu senantiasa cakna dan memainkan
peranan dalam mengetuai perbincangan, pemberitahuan maklumat dan sebagainya kepada generasi
mereka.
Strategi komunikasi semasa perancangan dan implementasi
Ketua GAT (rewang) memainkan peranan yang penting dalam mengelola perancangan dan implementasi
gerak kerja pengurusan acara. Sebagai ketua, beliau akan mendapatkan pandangan daripada tuan rumah
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 695 -

