Page 705 - Proceedings Collega2023
P. 705
Perubahan masa dan zaman menyaksikan perubahan amalan dan tradisi termasuk dalam tatacara
pengendalian majlis perkahwinan di bandar mahupun luar bandar. Antara yang jelas mengalami
perubahan adalah aktiviti gotong royong atau rewang. Aktiviti rewang lazimnya dilakukan bersama-sama
dalam kelompok dan melibatkan bukan sahaja ahli keluarga, dan sanak saudara malah juga melibatkan
jiran tetangga dan masyarakat setempat.
M. Anwar Syahputra (2021) menyatakan tradisi rewang mempunyai nilai ekonomi dalam masyarakat
kerana ia membantu mengurangkan kos perbelanjaan dan guna tenaga dengan lebih berkesan. Selain itu
ia juga membuka ruang berkomunikasi dan menjalinkan silaturahim sebagai nilai sosial berjiran untuk
menyatukan hubungan sesama masyarakat.
Namun perubahan dan perkembangan terhadap ekonomi dan sosial budaya sedikit sebanyak mengubah
pelaksanaan rewang yang pada suatu masa dahulu dianggap sebagai wadah komunikasi sosial keluarga
dan masyarakat. Fatimah Abdullah (2009) dalam kajiannya terhadap upacara perkahwinan Melayu bandar
menyatakan, nilai individualisme semakin ketara dalam masyarakat moden bandar yang turut menghakis
nilai perpaduan kelompok. Menurut Fatimah lagi, kerjasama dan amalan gotong royong yang melibatkan
ahli keluarga dan komuniti pada masa kini lebih bersifat sementara. Aspek pengurusan majlis perkahwinan
seperti penetapan tarikh, lokasi, hidangan, upacara, pakaian dan lainnya kini dilaksanakan mengikut
kehendak dan cita rasa individu, berbanding kelompok.
Justeru itu, penelitian yang ilmiah boleh dilakukan untuk mengenal pasti adakah tradisi rewang kini telah
melalui fasa modifikasi dan pembaharuan bagi masyarakat Melayu bandar. Kajian ini juga cuba melihat
ruang komunikasi sosial dan perpaduan kelompok sesama ahli keluarga dan masyarakat dalam konteks
kehidupan bermasyarakat yang moden. Pada akhirnya kajian ini cuba memaparkan dinamika komunikasi
masyarakat Melayu bandar dalam konteks amalan rewang yang menjadi sebahagian legasi kearifan
tempatan di Nusantara.
Objektif Kajian
a. Mengenalpasti pelaksanaan amalan rewang dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu bandar.
b. Melihat perubahan ekonomi dan sosio-budaya terhadap ruang komunikasi sosial dan perpaduan
kelompok ahli keluarga dan masyarakat Melayu bandar.
c. Memaparkan dinamika komunikasi dalam konteks amalan rewang perkahwinan masyarakat Melayu
bandar.
Sorotan Kajian
Rewang
Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan rewang sebagai gotong royong bagi persiapan menjayakan
sesuatu majlis, terutamanya majlis perkahwinan. Tohirin dan Hartanto (2023) menyatakan istilah rewang
berasal dari bahasa Jawa yang bermaksud menolong. Rewang merupakan amalan tradisi masyarakat Jawa
bertujuan untuk membantu saudara, ahli keluarga atau jiran tetangga yang menganjurkan majlis seperti
perkahwinan dan berkhatan yang kebiasaannya dilaksanakan di kawasan kampung mahupun bandar
(M.Anwar Syahputra, 2021).
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 692 -

