Page 711 - Proceedings Collega2023
P. 711
kerja telah kita agihkan. GAT selalu bertemu dan berbincang. Apa-apa perkara nak bincang kami
akan berkumpul, tiada masalah.
Ini adalah selari dengan apa yang diperkatakan oleh Zainorinyana Jamoran Yana dan Vivien WC Yew (2017),
bahawa pembahagian kerja dalam rewang ini telah mewujudkan kesepakatan bersama dalam menjayakan
majlis supaya berjalan dengan lancar.
Perubahan ekonomi dan sosio-budaya dalam kehidupan masyarakat Melayu bandar tidak dapat
dielakkan seiring dengan perkembangan zaman. Walau bagaimanapun perubahan ini tidaklah
memberikan kesan yang besar terhadap ruang komunikasi sosial dan perpaduan kelompok dalam
kalangan ahli keluarga mahupun masyarakat. Menurut informan, hubungan baik dan erat sesama adik
beradik dan jiran tetangga amat memudahkan urusan majlis perkahwinan yang dijalankan. Justeru, ianya
membentuk semangat keakraban dan bersatu padu dalam kalangan mereka. Pandangan informan selari
dengan pendapat Yassin (1999) yang menyatakan budaya rewang adalah didasari idea bahawa manusia
tidak boleh hidup bersendirian, sebaliknya perlu hidup bersama dengan orang lain. Tegasnya, manusia
amat bergantung antara satu sama lain dalam meneruskan kehidupan mereka dan dengan adanya
hubungan sosial, proses penyesuaian diri dengan anggota masyarakat yang lain akan berlaku.
Informan yang aktif sebagai ahli jawatankuasa muslimah di kawasan perumahannya mendapat
kerjasama yang sangat baik daripada jiran tetangga tanpa mengira kaum. Sifat bantu membantu, saling
berbincang dan bekerjasama dalam aktiviti kejiranan seperti aktiviti di surau taman kediaman memupuk
hubungan baik di kawasan kejiranan. Sikap prihatin dan toleransi yang diamalkan amat penting dalam
kehidupan masyarakat Melayu bandar. Nurhuda Salleh (2017) berpendapat apabila sesuatu aktiviti
bersifat komunal ingin dilaksanakan dengan lancar dan teratur, musyawarah dan kesepakatan dalam ahli
masyarakat amat penting. Masyarakat melayu banyak berpegang kepada ungkapan “sepakat membawa
berkat” dan ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’.
Sama ada setuju atau tidak, amalan rewang telah menyebabkan terbentuknya nilai-nilai murni yang
membentuk perwatakan masyarakat Melayu tradisi yang berpegang teguh kepada sistem nilai ini (Anuar
Omar Din, 2018). Tradisi ini seterusnya diperturun dan dibawa kepada generasi seterusnya dan
dikekalkan walaupun masyarakat Melayu tersebut telah berhijrah ke bandar.
Informan menyatakan faktor ikatan kekeluargaan yang erat, tenaga kerja muda, pembahagian kerja yang
teratur dan semangat yang tinggi dalam menjalankan kerja berpasukan membantu melancarkan majlis
perkahwinan anaknya.
Ahli-ahli GAT terutama anak-anak buah generasi ke-2 (Gen2) ini bersungguh-sungguh dan
diaorang ni sangat teruja nak bekerja.
Bila diberikan kerja semua okay sahaja. Mereka teruja.
Zainorinyana Jamoran Yana dan Vivien WC Yew (2017) menyatakan amalan rewang tidak sekadar bersifat
bantu membantu dalam pekerjaan, malah amalan rewang ini menyebabkan berlakunya perkongsian
emosi diantara mereka yang terlibat. Perkongsian emosi ini dipercayai telah meningkatkan sifat saling
percaya antara satu sama lain dan ia sekaligus membina jaringan sosial yang erat antara satu sama lain.
Menerusi amalan rewang didapati komunikasi lisan dan bukan lisan mengambil tempat pada tiap
peringkat. Pemerhatian pengkaji terhadap majlis perkahwinan anak informan mendapati komunikasi
interpersonal, komunikasi kumpulan kecil dan komunikasi keluarga berlaku dengan aktif sama ada secara
bersemuka mahupun menggunakan teknologi komunikasi. Aliran komunikasi juga berlaku secara
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 698 -

