Page 703 - Proceedings Collega2023
P. 703

DINAMIKA KOMUNIKASI DALAM KOMUNITI: AMALAN REWANG
                     DALAM KENDURI KAHWIN MASYARAKAT MELAYU BANDAR


                                                       Norhayati Baba
                                                     Mohd Nazri Ibrahim
                                                      Norhayati Ramlee
                                              UiTM, Shah Alam, Selangor, Malaysia
                                                 norhayati9382@uitm.edu.my
                                                   nazri3498@uitm.edu.my
                                                   hayati165@uitm.edu.my


                                                          ABSTRAK

                       Kenduri kahwin dalam masyarakat Melayu adalah sebahagian ritual yang sangat penting dalam
               budaya setempat yang diperturunkan daripada satu generasi kepada satu generasi. Amalan rewang atau
               gotong royong semasa kenduri kahwin adalah antara aktiviti sosial yang mengumpulkan ahli keluarga,
               sanak saudara dan jiran tetangga. Amalan rewang mewujudkan penstrukturan kerja, carta alir tugas dan
               aliran komunikasi. Pada masa yang sama, ianya turut membenihkan nilai kemasyarakan yang tinggi dalam
               kalangan  anggota  masyarakat.  Amalan  rewang  memperlihatkan  kepelbagaian  aliran  komunikasi  yang
               dinamik dalam konteks komuniti seperti aliran komunikasi menurun, menegak dan mendatar. Rewang
               kenduri kahwin tidak hanya tertumpu di bahagian penyediaan makanan malah ianya meliputi pelbagai
               aspek majlis seperti menjemput tetamu, menyiapkan pelamin, kamar pengantin, hantaran, bunga telur,
               bunga manggar, makan beradap keluarga pengantin, cenderahati kepada tetamu, membersihkan rumah
               dan  lain-lainnya.  Kajian  rintis  yang  menggunakan  kaedah  pemerhatian  turut  serta  dan  temubual
               mendalam secara bersemuka bersama seorang informan ini bertujuan untuk mengenalpasti pelaksanaan
               amalan rewang dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu bandar; melihat perubahan ekonomi dan
               sosio-budaya terhadap ruang komunikasi sosial dan perpaduan kelompok dalam kalangan ahli keluarga
               dan masyarakat Melayu bandar; dan pada akhirnya memaparkan dinamika komunikasi dalam konteks
               amalan  rewang  perkahwinan  masyarakat  Melayu  bandar.  Hasil  kajian  rintis  mendapati  berlaku
               penyesuaian  amalan  rewang  disebabkan  perubahan  sosio-ekonomi  dalam  komuniti  Melayu  bandar.
               Amalan yang dahulunya mengambil masa telah disesuaikan prosesnya agar menjadi lebih padat seiring
               konsep  perkahwinan  Melayu  dalam  persekitaran  moden.    Dalam  modifikasi  amalan  rewang,  aliran
               komunikasi turut berlaku dalam tiga arah yang menjadikan ianya proses sosial yang memberi makna.
               Justeru, makalah ini menyimpulkan berlakunya perkongsian makna komunikasi dalam pengurusan rewang
               kenduri kahwin masyarakat Melayu bandar yang dimodifikasi menerusi interaksi sosial melalui komunikasi
               simbolik bersemuka dan menggunakan perantaraan media digital.

               Kata Kunci: Dinamika komunikasi; Rewang; Kenduri Kahwin; Masyarakat Melayu Bandar













               International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 690 -
   698   699   700   701   702   703   704   705   706   707   708