Page 707 - Proceedings Collega2023
P. 707
Komunikasi adalah satu proses pertukaran mesej. Mesej-mesej ini terdiri dari pelbagai bentuk seperti idea,
informasi dan fakta akan dipindahkan dari seorang kepada orang lain. Littlejohn (1999) mendefinisikan
komunikasi sebagai simbol, perucapan (speech), pemahaman, proses, transmisi, saluran, niat, makna dan
situasi. Tiga kata kunci utama dalam definisi komunikasi menurut Frey, Botan, and Kreps (2000) adalah
mesej, mengurus dan makna. Menurut mereka komunikasi adalah satu proses mengurus mesej bertujuan
untuk memberi makna.
Komunikasi terdiri daripada lisan dan bukan lisan. Terdapat pelbagai jenis komunikasi yang sering
digunakan iaitu komunikasi intrapersonal, perseorangan (interpersonal), kumpulan, organisasi, dan massa.
Walaupun terdiri daripada kategori yang berbeza, namun kesemua elemen amat berkait di antara satu
sama lain. Percaya atau tidak, kita tidak boleh mengelak daripada berkomunikasi dalam kehidupan
seharian kita sama ada secara intrapersonal, interpersonal, dalam kumpulan, organisasi mahupun massa.
Justeru itu, aliran komunikasi yang menegak, menurun, dan mendatar tidak dapat dielakkan.
Komunikasi mengambil tempat pada setiap peringkat organisasi sosial. Jaringan komunikasi merujuk
kepada mana-mana titik set yang saling berkait (orang dan tempat) bagi membolehkan penghantaran dan
pertukaran maklumat berlaku. Proses komunikasi juga berlaku dalam konteks komunikasi massa yang
merujuk kepada rangkaian yang menghubungkan satu sumber kepada penerima yang ramai. Teknologi
media baharu pula menyediakan sambungan interaktif daripada beberapa jenis platform yang berbeza
(McQuail, 2010). Oleh itu, proses komunikasi adalah dinamik.
Metodologi
Kajian ini adalah berdasarkan kaedah pemerhatian turut serta semasa majlis perkahwinan dan temubual
mendalam yang dilakukan secara bersemuka bersama seorang informan untuk kajian rintis ini.
Kaedah pemerhatian turut serta adalah kaedah yang memerlukan pengkaji membuat pemerhatian situasi
yang sebenar. Justeru, pengkaji seharusnya mempunyai kecekapan mengesani peristiwa yang sangat
signifikan. Pengkaji memainkan peranan sebagai agen aktif dalam keadaan yang sedang dikaji (Azizah
Hamzah, 2004).
Selain itu temu bual berstruktur juga dijalankan secara formal. Sesi temubual telah dirancang dan
dilaksanakan mengikut soalan yang telah disenaraikan secara berturutan bagi mendapatkan respon yang
spesifik daripada responden. Azizah Hamzah (2004) menyatakan temubual secara mendalam boleh
dilaksanakan secara terperinci berdasarkan garis panduan dan apa yang disebutkan oleh responden
adalah data penting yang perlu dicatatkan kata demi kata. Kaedah ini membolehkan pengkaji memahami
dengan lebih sempurna dan mendalam akan kajian yang dilaksanakan. Wimmer dan Dominick (2014)
menyatakan kaedah temubual secara mendalam menggunakan jumlah sampel yang kecil. Selain itu
kaedah ini juga menghuraikan data mengenai responden, nilai, motivasi, ingatan, pengalaman dan
perasaan yang diperolehi oleh responden. Ia juga membolehkan penemuduga membentuk soalan baru
berdasarkan jawaban yang diberikan oleh responden.
Pemilihan informan dibuat berdasarkan kriteria yang menepati objektif kajian iaitu orang Melayu bandar,
baru melangsungkan majlis perkahwinan dalam keluarga, dan melaksanakan rewang untuk menguruskan
majlis perkahwinan tersebut.
Dapatan dan Perbincangan
Latar Belakang Keluarga Kajian
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 694 -

