Page 709 - Proceedings Collega2023
P. 709
dan semua ahli keluarga sebelum membuat keputusan. Terlebih dahulu tuan rumah akan memberikan
maklumat lengkap berkaitan majlis seperti cadangan tarikh, lokasi, kehadiran tetamu, jamuan makan
(masak sendiri atau khidmat katering) serta hajat dan perancangan beliau sebagai tuan rumah. Mereka
kemudiannya akan berbincang dan bertukar-tukar pendapat dan pandangan sebelum kata putus dan
persetujuan dicapai.
Semua ahli keluarga daripada generasi pertama hingga ketiga (adik beradik, anak hingga ke cucu) amat
digalakkan untuk memberikan pendapat tanpa mengira usia. Ia bertujuan untuk mendapatkan
perkongsian idea, pengalaman dan buah fikiran yang terbaik bagi memastikan perjalanan majlis lancar dan
hajat tuan rumah terlaksana dengan baik.
Setiap kali selepas majlis selesai, sesi post-mortem akan diadakan. Ini amat penting untuk mereka melihat
kembali isu-isu yang timbul semasa kenduri perkahwinan berlangsung dan bagaimana mereka boleh
menambah baik untuk urusan rewang di masa akan datang.
Platform komunikasi pengurusan rewang
Bermula daripada perancangan majlis pertunangan sehinggalah berlangsungnya majlis perkahwinan,
komunikasi bersemuka dan penggunaan teknologi komunikasi menjadi pilihan responden pertama
bersama ahli GAT.
Informan dan ahli GAT yang lain kerap mengadakan pertemuan secara bersemuka, dengan mengadakan
mesyuarat bertempat di kediaman ketua rewang atau responden untuk berbincang/ bermesyuarat
bersama apabila terdapat perkara atau isu yang timbul berkaitan urusan majlis perkahwinan.
Selain komunikasi bersemuka, GAT menggunakan aplikasi WhatsApp dengan mewujudkan kumpulan
WhatsApp dengan nama Generasi Ahmad Tinggal (GAT). Kesemua ahli GAT (G1 – G2) yang memiliki telefon
pintar akan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp GAT ini. Selain itu terdapat juga kumpulan
WhatsApp kecil yang diwujudkan bagi GAT Gen1 (G1) dan GAT Gen2 (G2).
Komunikasi menggunakan aplikasi WhatsApp ini hanya digunapakai untuk menyampaikan informasi.
Namun untuk perbincangan dan membuat keputusan, kesemua komunikasi adalah secara bersemuka.
Semasa majlis perkahwinan berlangsung, telefon bimbit dan walkie talkie adalah alat bantu yang
digunakan ahli GAT dalam mengurus dan memastikan majlis berjalan lancar.
Selain ahli GAT, terdapat juga jiran tetangga dari kumpulan Muslimah yang turut serta dalam membantu
tuan rumah semasa urusan kenduri. Mereka juga mempunyai kumpulan WhatsApp Muslimah yang
digunakan untuk menyampaikan informasi berkaitan majlis dan kerja-kerja yang boleh dibantu oleh
mereka seperti menolong menyiapkan cenderahati tetamu sebelum majlis berlangsung.
Makna rewang dan perbezaan rewang dalam masyarakat bandar
Menurut informan, rewang di bandar dan kampung tidak banyak perbezaannya. Amalan kerjasama,
bergotong royong dan saling membantu dalam kalangan adik beradik, saudara mara dan jiran tetangga
tetap wujud. Perbezaan yang ketara adalah dari segi penyediaan makanan. Majlis kenduri di kampung
masih lagi mengamalkan rewang memasak makanan untuk kenduri yang dikelolakan oleh adik beradik,
sanak saudara dan jiran tetangga. Proses itu biasanya mengambil masa terutamanya dari segi penyediaan
bahan masakan iaitu dianggarkan dua hingga tiga hari sebelum majlis berlangsung. Berbanding dengan di
kenduri di bandar yang menggunakan perkhidmatan penyediaan makanan (katering), jadi tidak melibatkan
gotong royong dalam kalangan ahli keluarga dan jiran tetangga. Oleh itu, tuan rumah akan dapat
menumpukan perhatian kepada perkara lain terutama menyantuni tetamu jemputan. Sementelah ramai
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 696 -

