Page 706 - Proceedings Collega2023
P. 706

Menurut  Noriah  (2001),  konsep  rewang  adalah  sistem  gotong-royong  tradisional  yang  dilakukan  oleh
               masyarakat Jawa di Tanah Jawa dan diteruskan oleh generasi berketurunan Jawa di Tanah Melayu. Ia
               merupakan satu budaya dan adat tradisi yang unik dalam kalangan masyarakat Jawa.
               Rewang  adalah  aktiviti  yang  mengumpulkan  ahli  keluarga  dan  jiran  tetangga  oleh  tuan  rumah  yang
               berhasrat ingin mengadakan majlis atau kenduri. Oleh itu, aktiviti rewang adalah tradisi tolong menolong
               dan  gotong-royong  yang  diadakan  secara  bersama-sama  sehingga  terbentuknya  kesepakatan  dalam
               masyarakat.

               Fungsi Rewang

               Aktiviti rewang amat penting dalam kehidupan ahli keluarga dan masyarakat Melayu. Menerusi aktiviti
               rewang, ia dapat menyelesaikan keperluan majlis dengan lebih cepat dan cekap dengan adanya bantuan
               dari segi ekonomi, kewangan dan pengurusan kerja. Manfaat dari amalan rewang dibuktikan dalam kajian
               yang  dilakukan  mengenai  keluarga  dan  kehidupan  dalam  masyarakat  Melayu  di  luar  bandar  yang
               menunjukkan perkahwinan dan majlis yang berkaitan adalah penting kerana melibatkan seluruh kaum
               keluarga dari seluruh kampung yang menghulur bantuan tenaga, wang ringgit dan barang-barang (Peletz,
               1996; Strange, 1981).
               Rewang  juga  dapat  membantu  pengagihan  semula  sumber  daripada  keluarga  yang  berkemampuan
               kepada  yang  kurang  berkemampuan,  dari  satu  keluarga  kepada  keluarga  yang  lainnya.  Ia  mampu
               mengeratkan ikatan persaudaraan dan keakraban dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat menerusi
               interaksi sosial dan perbuatan saling bantu membantu antara satu sama lain yang akhirnya membentuk
               sikap solidariti dalam masyarakat (Ardina Asmi Aulia, Lisbet Situmorang dan Kheyene Molekandella Boer,
               2022).

               Menurut Zainorinyana Jamoran Yana dan Vivien WC Yew (2017), amalan rewang boleh mewujudkan nilai
               tidak  mementingkan  diri  sendiri,  saling  hormat  menghormati,  muafakat  dan  mewujudkan  nilai
               perkongsian pengalaman dan emosi dalam masyarakat. Aktiviti ini adalah aktiviti yang dibuat bersama-
               sama dengan anggota masyarakat bersandarkan pada satu matlamat yang sama iaitu untuk memastikan
               semua  pekerjaan  dapat  dilaksanakan  dengan  baik,  lancar  serta  menjimatkan  masa  dan  perbelanjaan
               (Noriah, 2001).


               Definisi Komunikasi

               Perkataan  komunikasi  berasal  dari  perkataan  “commune”  bermaksud  kesamaan.  Justeru  komunikasi
               dianggap  sebagai  satu  proses  dalam  mewujudkan  kesamaan.  Dalam  proses  komunikasi  ia  melibatkan
               usaha bertukar dan berkongsi maklumat secara lisan dan bukan lisan dalam tiga peringkat kesamaan iaitu
               kesamaan  dari  segi  perkataan,  makna  dan  kepercayaan  atau  keyakinan.  Hal  ini  bermaksud  kesamaan
               perkataan tidak menjanjikan komunikasi itu berjaya jika tiada kesamaan makna antara komunikator dan
               komunikasi tidak akan mendatangkan kesan jika pendengar tidak yakin dengan apa yang didengar dan
               difahami (Ezhar Tamam, 1999).

               Komunikasi  secara  umum  adalah  proses  bertindak  berdasarkan  maklumat  apabila  seseorang  individu
               berbuat atau berkata sesuatu dan individu lain berfikir atau melakukan sesuatu berdasarkan perkataan
               atau apa yang mereka fahami. Komunikasi sesama manusia adalah satu proses memahami dunia dan
               berkongsi rasa bersama dengan mencipta makna menerusi mesej lisan dan bukan lisan (Beebe, Beebe &
               Redmond, 2011).






               International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 693 -
   701   702   703   704   705   706   707   708   709   710   711