Page 553 - Proceedings Collega2023
P. 553
Surah al-Qalam
Surah al-Qalam merupakan surah yang ke-68, diturunkan di Makkah pada awal kebangkitan Nabi
SAW. Surah ini diberi nama al-Qalam yang memberi maksud pena, satu isyarat supaya umat Islam menjadi
umat yang berpengetahuan dan bermaklumat. Hal ini dapat diperhatikan sebagaimana firman Allah SWT
dalam Ayat 1 yang bermaksud: "Nuun. Demi Pena dan apa yang mereka tulis." Didapati perkataan “Nun”
merupakan satu-satunya huruf hijaiyah yang digunakan Allah SWT sebagai pembuka awal surah al-Quran.
Didapati bahawa Allah SWT bersumpah dengan “nun, kalam dan tulisan” untuk menarik perhatian
manusia kepada besarnya peranan tulisan dan alat untuk menulis. Keperluannya sebagai penyebar
maklumat sangat jelas kerana dengannya kita mampu memberitahu dan mendapat tahu sesuatu. Dengan
kalam atau pena, wahyu dapat dicatat dan hasil pemikiran ditulis serta disebar. Allah SWT bersumpah
dengan kalam untuk menunjukkan tingginya nilai ilmu pada manusia, tanpa ilmu, manusia lebih rendah
kedudukannya daripada haiwan. Pena diibaratkan pisau yang boleh digunakan untuk menyelamat dan
memusnah. Pena juga ada kala lebih tajam daripada pisau digunakan untuk menyembelih. Kebolehan
menulis dan menyampaikan maklumat adalah anugerah Allah SWT yang tinggi nilainya selagi seseorang
menulis dan menyampaikan maklumat dengan baik, tidak melampaui batas serta penuh keikhlasan.
Justeru, surah ini mengajak para pengarang merenung tentang kedudukan kalam sebagai alatan menulis
yang mengarah kepada Islam sebagai julangan dan junjungannya.
Surah al-Syams
Surah al-Syams merupakan surah yang ke-91 dalam Al-Quran, terdiri daripada 15 ayat, dan
tergolong dalam surah Makiyyah diturunkan sesudah Surah Al Qadr. Surah ini dinamakan as-
Syams (matahari) diambil dari perkataan Asy Syams yang terdapat pada ayat permulaan surah ini. Hal ini
terungkap dalam Ayat 1-10 yang bermaksud: “Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang; Dan
bulan apabila ia mengiringinya; Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata;Dan malam
apabila ia menyelubunginya (dengan gelap- gelita), Demi langit dan Yang membinanya (dalam bentuk yang
kuat kukuh – yang melambangkan kekuasaanNya); Serta bumi dan Yang menghamparkannya (untuk
kemudahan makhluk-makhlukNya); Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan
kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang
membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; Sesungguhnya berjayalah
orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal
kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut
dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).
Justeru surah ini menggesa manusia agar memilih antara dua jalan, iaitu “jalan kebenaran dan kebaikan”
atau “jalan keburukan dan kejelekan” untuk menghasilkan sesuatu penulisan.
Kearifan Melayu dalam Kreativiti Kepengarangan Menurut Pandangan Islam
Kearifan Melayu dalam kreativiti kepengarangan menurut pandangan Islam bertitik tolak daripada
empat perkara, iaitu ilham (idea), mithaq (perjanjian), ihsan (kebaikan) dan ijtihad (penyelidikan). Dalam
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 540 -

