Page 549 - Proceedings Collega2023
P. 549
nilai luhur turut mengungkapkan keindahan yang mengajak manusia kepada kebaikan (al-Khayr),
kebenaran (al-Haqq) dan keindahan (al-Jamal).
Kreativiti Kepengarangan Menurut Pandangan Islam
Kreativiti secara umumnya merupakan kemampuan untuk menciptakan sesuatu dengan cara
menemukan, menggabungkan, membangun, mengarang, mendesain, merancang, mengubah ataupun
menambah sesuatu untuk bernilai manfaat. Dalam pandangan Islam, kreatif merupakan cerminan
daripada nama Allah, iaitu al-Khāliq dan al- Mushawwir. Hal ini dapat dikatakan bahawa kreativiti
merupakan kemampuan menggunakan apa yang dimilikinya dalam menghasilkan sesuatu yang terbaik
dan bermanfat bagi kehidupan sebagai pengabdian yang tulus kehadrat-Nya dan kesyukuran atas nikmat-
Nya.
Untuk itu, menurut sudut pandang Islam, kreativiti merupakan perkara yang berkait rapat dengan
sifat dan kekuasaan Tuhan. Hal ini sebagaimana yang diungkap dalam surah al-An’am Ayat 102 yang
bernaksud: “Itulah Tuhanmu, tiada Tuhan kecuali Dia. Pencipta segala sesuatu. Sembahlah Dia. Dialah
Maha Kuasa atas segala sesuatu.” Berdasarkan surah al-An’am, Ayat 102 ini jelas menunjukkan bahawa
kekuasaan Allah SWT sebagai Yang Maha Pencipta mengatasi kebijaksanaan manusia. Maka dalam konteks
kepengarangan, walaupun seseorang penulis memiliki daya kreativiti yang tinggi dalam menghasilkan
karyanya tidak mampu menandingi kehebatan Allah SWT sebagai Yang Maha Pencipta yang mutlak. Hal ini
dapat diperhatikan menerusi kejadian manusia yang terhasil daripada dua penciptaan, iaitu daripada alam
keluar (rahim ibu) daripada tiada kepada ada (dilahirkan ibu) dengan cukup sifat dan sempurna.
Penciptaan seterusnya yang dijalani dalam kehidupan mempunyai kaitan dengan kreativiti manusia. Hal
ini sejajar dengan pandangan Hassan, iaitu sebab manusia mencipta bukan daripada tiada kepada ada,
sebaliknya daripada sesuatu yang sudah ada (dijadikan Tuhan) kemudiannya diubah dan diperbaiki dalam
bentuk yang sesuai dengan kehidupan serta kehendak manusia pada satu-satu masa (Hassan Langgulung,
1991). Maka bentuk penciptaan menurut al-Quran merangkumi pemeliharaan dan pengawasan Tuhan ke
atas segala sesuatu yang ada di alam ini.
Sehubungan itu, manusia wajib mengakui bahawa segala kekuasaan adalah milik mutlak Tuhan.
Sesungguhnya manusia dijadikan Tuhan bertujuan memakmurkan bumi ini. Didapati bahawa sejak azali
lagi manusia telah dikurniakan kebolehan dan bakat yang luar biasa iaitu dapat membangunkan kehidupan
berlandaskan keupayaan dan kemampuan tersendiri berlandaskan kehendak Yang Maha Pencipta, Semua
kejadian itu adalah atas belas ihsan Allah SWT sebagai Yang Maha Mengatur (Allah Ya Bari’) perjalanan
kehidupan hamba-Nya. Manusia merupakan makhluk yang tidak mampu untuk melaksanakan sesuatu
tanpa izin Yang Maha Agung (Allah Ya Mutakabbir). Lantaran manusia merupakan makhluk yang tidak
berdaya dan lemah di sisi Tuhan yang memerlukan kreativitinya dibantu. Untuk itu, sifat-sifat kreatif yang
diberikan Yang Maha Pencipta bertujuan agar manusia tunduk, patuh dan taat kepada-Nya.
Jelas bahawa hanya manusia yang dianugerahkan Allah SWT dengan seni yang begitu indah dan
tidak dapat ditandingi makhluk lain di muka bumi. Sesungguhnya, kreativiti adalah antara sifat-sifat Tuhan,
asma’ ul husna yang berjumlah 99 dan terdapat beberapa sifat yang erat kaitannya dengan daya cipta,
iaitu Maha Mengadakan (al-Khaliq), Maha Membentuk (al-Musawwir) dan Maha Mengadakan (al-
Mubdi’). Hal ini banyak digambarkan dalam banyak surah dalam al-Quran, antaranya surah Yassin ayat 81
yang bermaksud, “Bukankah yang mencipta langit dan bumi sanggup mencipta seperti itu Dialah maha
Pencipta dan Maha Mengetahui.”
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 536 -

