Page 472 - Proceedings Collega2023
P. 472

Metodologi Kajian

               Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif, iaitu dengan cara pengumpulan data dan menganalisis data
               tersebut secara mapan. Dari sudut itu, pengkaji telah memilih Syair Negeri Patani yang sudah dibaikpulih
               oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka yang merupakan manuskrip yang penting bagi masyarakat Melayu
               Patani. Kemudian, dianalisis menggunakan teori Rasa Fenomenologi kerana ia amat bersesuaian dengan
               tajuk yang dikaji, iaitu tentang rasa. Kajian tentang rasa mempunyai perkaitan yang baik dengan teori Rasa
               Fenomenologi terutama untuk diaplikasikan. Teori ini mampu menghuraikan pengalaman esetetik yang
               terkandung  dalam  sesebuah  karya  dan  penghuraian  nilai  estetika  sehingga  menimbulkan  rasa  dalam
               kalangan pembaca.



               Teori Rasa Fenomenologi
               Berdasarkan  Kamus  Dewan  (2004),  “rasa”  adalah  sesuatu  perihal  yang  menggunakan  lidah  untuk
               mengecapi,  keadaan  yang  dialami  oleh  bahagian  tubuh  (kulit  dan  lain-lain  apabila  terkena  sesuatu),
               keadaan hati terhadap sesuatu; rasa sedih (kecewa, pilu, senang dan lain-lain. Kamus Ensiklopedia pula
               mendefinisikan “rasa”dalam merasa sesuatu dengan hujung lidah dan rasa hati, perasaan hati apabila
               menghadapi sesuatu situasi (Ensiklopedia, 1997,94). Dalam Kamus Bahasa Indonesia, “rasa” diberi takrif
               anggapan  hati  terhadap  sesuatu  (indera);  sedih  (bimbang,  takut).  Tanggapan  indera  lebih  kepada
               rangsangan saraf seperti manis, pahit, masam, panas dan dingin. Selain itu, “rasa” juga ditanggapi sebagai
               pandangan atau pertimbangan mengenai hak baik atau buruk, salah atau benar dan adil (Kamus Besar
               Bahasa Indonesia, 2001, 932).
               Perkataan “rasa” menurut tradisi Melayu, yang dikemukakan oleh Marsden, berasal daripada perkataan
               Hindu dan “rasa” membawa maksud taste, flavour, the sensation of taste, the internal sense of feeling
               sensation.  Dengan  kata  lain,  “rasa”  membawa  maksud  rasa  hati,  iaitu  keadaan  hati  yang  apabila
               mengalami  sesuatu  keadaan  seperti  rasa  sedih  sehinggalah  ke  peringkat  yang  lebih  tinggi,  iaitu
               pengalaman  estetik  akan  mencetuskan  kesan  sehingga  boleh  menyebabkan  tindak  balas  yang  lain.
               Misalnya rasa sedih akan mengakibatkan tangisan, rasa gembira akan menyebabkan ketawa dan begitulah
               sebaliknya (Sohaimi Abdul Aziz, 1998, 111).
               Teori Rasa Fenomenologi adalah sebuah teori tempatan yang telah dikemukakan oleh Sohaimi Abdul Aziz,
               seorang sarjana dan bekas pensyarah di Universiti Sains Malaysia. Pada dasarnya, teori ini adalah hasil
               kajian di peringkat sarjana yang kemudiannya diangkat ke peringkat kedoktoran. Teori Rasa Fenomenologi
               terbina secara hibridisasi hasil daripada kombinasi dan penyesuaian dua buah teori estetik yang berasal
               dari timur (India) dan Barat. Teori-teori yang dimaksudkan itu ialah teori rasa dhvani dan teori estetik
               fenomenologi.
               Menurut Sohaimi Abdul Aziz (l998: 8), teori Rasa Fenomenologi percaya bahawa manusia memiliki lapan
               emosi tetap dalam minda bawah sedar mereka. Emosi-emosi ini berfungsi dan bertindak dalam minda,
               apabila pembaca melakukan pembacaan terhadap sesebuah karya, dengan tiga proses. Tiga proses yang
               dimaksudkan  ialah  pertama,  pemindahan  (transformasi)  emosi  tetap  menjadi  emosi  estetik.  Kedua,
               pemindahan (transformasi) teks sastera yang dibaca menjadi objek estetik dan ketiga, kesedaran biasa
               dalam diri pembaca bertukar (transformasi) menjadi kesedaran estetik. Perubahan-perubahan inilah yang
               telah menghasilkan nikmat estetik yang bersifat universal dan sensual.






               International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 459 -
   467   468   469   470   471   472   473   474   475   476   477