Page 471 - Proceedings Collega2023
P. 471
dalam satu baris yang terbahagi kepada jalur melintang. Kertas halus dan nipis, berwarna kekuningan dan
tanpa sebarang tera air.
Dari segi penggunaan bahasa dalam syair, didapati banyak menggunakan bahasa Melayu dialek Patani
yang agak sukar untuk difahami dan ditransliterasikan. Malah penggunaan Bahasa Melayu tulisan Jawi juga
terdapat kesilapan dari segi ejaan dan penggunaan titik. Berdasarkan penelitian didapati syair ini dikarang
semasa perjalanan dengan perahu pada waktu malam pukul satu. Keadaan yang tidak tenang dan gelap
menjadikan syair ini mempunyai ketidaksempurnaan dari segi tulisannya. Ia boleh dilihat melalui rangkap
berikutnya:
R 889 Pada hari Thalatha,
Syair ini membuat bicara.
R 890 Bulan Syawal dengan sempurna,
Dari awal hingga sempurna.
R 891 Hamba faqir yang nakal,
Barang yang musykil hamba nakal.
R 892 Berjalan hamba turut perahu,
Waktu malam pukul satu.
Menerusi manuskrip ini perkataan Patani dieja dengan Petani. Berdasarkan kenyataan Jelani Harun (2015:
72) nama Patani dalam ejaan Jawi boleh ditulis dalam dua bentuk, iaitu “Patani” atau “Petani”. Sejak
perjanjian Bangkok1990, nama Patani sebagai sebuah negeri yang memiliki raja pemerintah yang
berdaulat sudah tidak wujud lagi di Thailand, sebaliknya Patani (atau sekarang dinamakan “Pattani”)
hanyalah sebuah wilayah Patani wujud lagi di Thailand. Walau bagaimanapun, ejaan bagi nama “Pattani”
adalah ejaan yang baru muncul pada masa kini kerana ejaan seperti itu tidak pernah digunakan oleh
pengarang Melayu pada masa silam.
Menurut Harun Mat Piah (1989: 246) daripada keseluruhan 150 syair Melayu yang beliau ketahui, 38
daripadanya adalah bertemakan peristiwa sejarah negara kota pada masa lampau, antara lain termasuk
Syair Perang Makasar, Syair Perang Banjarmasin, Syair Singapura Terbakar, Syair Raja Siak, Syair Sultan
Maulana, Syair Bangkahulu dan lain-lain. Sekirannya melihat dari segi isinya didapati bahawa mempunyai
persamaan dengan Hikayat Patani. Namun begitu terdapat juga peristiwa yang mempunyai kelainan
dengan Hikayat Patani. Ini menunjukkan bahawa sumber penghasilan syair berdasarkan beberapa sumber
penting seperti Hikayat Hang Tuah dan juga cerita-cerita lisan yang tidak diketahui sebelum ini.
Penyataan Masalah
Kajian ini dijalankan kerana bertitik tolak daripada tanggapan bahawa kebanyakan sastera Melayu sering
dibincangkan isu perjuangan masyarakat Melayu Patani. Sedangkan masih banyak lagi sastera Melayu
terutama dalam bentuk syair yang dapat dikaji melalui aspek yang lain seperti estetika rasa yang
merupakan satu bentuk keindahan dalam penulisan karya sastera secara umumnya. Estetika ini diselitkan
bertujuan untuk mendalami dan merangsang minda pembaca terhadap rasa yang diketengahkan oleh
pengarang. Sehubungan itu, kajian ini dijalankan untuk membuktikan walaupun sastera Melayu selalu
diangkat isu perjuangan Melayu Patani, tetapi Syair Negeri Patani mampu mengangkat nilai estetika,
sastera Melayu khususnya syair masih lagi kaya dengan nilai dan ketamadunan unggul dalam masyarakat
Melayu yang wajar diangkat demi memastikan tamadun orang Melayu dipelihara.
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 458 -