Page 449 - Proceedings Collega2023
P. 449

dialek di Borneo, Semenanjung Tanah Melayu, Bali, Sulawesi dan Ambon juga direkodkan. Pantun-pantun
               di Brunei dan kepulauan Selatan Thailand juga dikutip dan dikenalpasti. Bagi kelompok bahasa bukan
               Melayu, pantun didapati dalam bahasa Karo, Toba, Mandailing dan Simalungun di Sumatera (Muhammad
               Haji Salleh, 2018: 25-27).

                       Para pengkaji pantun sepakat menyatakan bahawa keindahan pantun terletak pada mesej yang
               disampaikan melalui dua baris terakhirnya ( Nik Safiah Karim 1996: 17). Norazit Selat dan Zainal Abidin
               Borhan (dlm. Wan Abdul Kadir Wan Yusuf, 1996:33) menjelaskan pantun dibentuk dalam dua bahagian,
               iaitu pembayang dan maksud.  Kedua-dua bahagian bertaut membentuk sebuah pengucapan yang indah
               kerana saling melengkapi. Dua bahagian pantun itu boleh diumpamakan sebagai dua struktur, seperti
               luaran dan dalaman yang akan bertaut menjadi satu, iaitu sebuah pantun yang indah.
                       Pantun Melayu mempunyai jumlah baris yang genap pada setiap rangkap. Elemen pembayang dan
               maksud tadi menjadikan rima akhir pada setiap baris adalah senada. Misalnya pantun dua baris dengan
               rima a-a; pantun empat baris dengan rima a-b-a-b dan pantun enam baris dengan rima a-b-c-a-b-c. Pantun
               boleh dicipta sehingga 16 baris. Berikut adalah contoh pantun empat kerat dengan rima a-b-a-b:

                                      Pisang emas dibawa berlayar
                                            Masak sebiji di atas peti;

                                            Hutang emas boleh dibayar

                                            Hutang budi dibawa mati.



                               Pantun di atas mempunyai struktur pantun yang ideal kerana rima a-b-a-b tidak hanya muncul
               pada  baris  akhir  tetapi  turut  seirama  pada  baris  tengahnya.  Kebanyakan  pantun  yang  indah  akan
               mempunyai struktur asas rima sebegini yang menjadikan ianya menarik untuk diungkapkan dan biasanya
               akan malar segar iaitu diterima khalayak untuk tempoh yang lama dan menjadi warisan peradaban dan
               bukti kearifan tempatan.

               Pantun sebagai alat komunikasi

                       Pantun adalah artifak untuk berkomunikasi yang dituturkan dalam konteks tertentu dan bukannya
               digunakan sebagai alat perhubungan komunikasi sehari-hari. Dalam konteks berhibur misalnya, pantun
               akan digunakan dalam rangkap lirik dondang sayang. Apabila seseorang jejaka mahu merisik seorang dara
               bagi menjadi jodohnya, maka pantun akan digunakan bagi menyampaikan hasrat dalam bentuk yang indah
               dan berseni.

                       Bagi  memenuhi  fungsi  komunikasi  yang  khusus,  pantun  perlu  dituturkan  dalam  bentuk  yang
               mensyaratkan adanya pembayang dan maksud yang berima, sekurang-kurangnya a-b-a-b. Pantun yang
               baik  akan  menyatakan  maksud  secara  berkias  dan  kesantunan  komunikasi  dua  hala  yang  berlaku
               menyerlahkan ciri komunikasi berselindung yang menjadi asas sesebuah pantun. Asmah Haji Omar (1992:
               178) menyifatkan kaedah komunikasi berkias ini sebagai ‘beating about the bush phenomenon”. Dalam
               bentuk  yang  lebih  khusus,  komunikasi  secara  tidak  langsung  ini  dipanggil  “kiasan,”  “perumpamaan,”
               ataupun sindiran dalam budaya Melayu.




               International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 436 -
   444   445   446   447   448   449   450   451   452   453   454