Page 445 - Proceedings Collega2023
P. 445

ELEMEN PEMIKIRAN DAN KREATIVITI PANTUN DALAM LAMAN
                  MEDIA SOSIAL DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA, MALAYSIA



                                                   Ibrahim, Mohd Nazri*  1
                                                     Baba, Norhayati* 2
                                            Mohammad Yusuff, Khairun Nizam*     3
                                                                       *4
                                                    Ramlee, Norhayati
                    Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam Selangor Malaysia
                                                   1 nazri3498@uitm.edu.my
                                                 2 norhayati9382@uitm.edu.my
                                                  3 khairun2324@uitm.edu.my
                                                   4 hayati165@uitm.edu.my




                                                          ABSTRAK
                       Pantun  adalah  artifak  bukan-benda  yang  mempunyai  pelbagai  fungsi  dan  makna  dalam
               kebudayaan  Melayu.  Ianya  mempunyai  kedudukan  yang  istimewa  dalam  kelestarian  warisan
               kesusasteraan  tradisional  di  Kepulauan  Melayu.  Jika  genre  sastera  klasik  Melayu  yang  lain  seakan
               terpinggir daripada perhatian khalayak, hal yang demikian tidak berlaku kepada pantun. Ianya diangkat
               dan digunakan dalam konteks awam dan peribadi, rasmi atau tidak rasmi. Para sarjana telah sepakat
               memperakukan genre pantun sebagai hasil ciptaan asli orang Melayu dan tidak disadur daripada sumber
               asing seperti India, Cina dan Jawa. Pantun memperlihatkan kemantapan daya kreativiti dan pemikiran
               orang Melayu. Orientalis dan pengkaji sastera tradisi telah lama melakukan penyelidikan lapangan dan
               teks untuk meneroka dan memahami akal fikir Melayu yang dicerminkan oleh penggunaan pembayang
               dan makna yang bukan sekadar mempunyai nilai estetika, tetapi menjadi rangkap komunikasi lisan dan
               tulisan yang strategik. Makalah ini menganalisis pantun dalam hantaran pada ruang laman sosial Facebook
               dan aplikasi Telegram milik Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Kajian yang dibuat melalui analisis teks
               dan analisis kandungan cuba memperlihatkan secara deskriptif elemen pemikiran dan kreativiti pantun
               dalam  sampel  pantun  yang  disiarkan  dalam  laman  sosial  dan  aplikasi  rasmi  itu.  Kajian  ini  dilakukan
               sebahagiannya berpandukan teori Pengkaedahan Melayu gagasan Hashim Awang dengan objektif untuk
               menunjukkan elemen kearifan tempatan dalam penciptaan pantun.  Dapatan kajian ini memerihalkan
               dinamika kandungan pantun warisan yang mengungkap pemikiran dan daya kreativiti dalam perspektif
               komunikasi strategik melalui pantun sebagai legasi kearifan tempatan yang unggul.



               Kata Kunci:  pantun; kreativiti; pemikiran; media sosial; Dewan Bahasa dan Pustaka; kearifan tempatan








               International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 432 -
   440   441   442   443   444   445   446   447   448   449   450