Page 454 - Proceedings Collega2023
P. 454
Pantun dalam kutipan yang disiarkan pada 8 Ogos 2023 mempunyai nilai kreativiti tersendiri
kerana maksud dalam pantun juga penuh simbolik. Dari kutipan maksud pantun itu, unsur luar biasa yang
tiba-tiba berlaku pasti membuatkan reaksi yang sama luar biasa akan berlaku. Dalam konteks ini,
perumpamaan yang bahawa sejak kucing sudah pandai menyelam, maka banyaklah ikan yang menempah
pedang untuk mempertahankan diri mereka kerana kucing sudah boleh menangkap mereka di tempat
yang dahulunya mustahil untuk dijelajahi kerana berlawanan dengan sifat semulajadi kucing. Pantun yang
kreatif ini dikumpul dan dikategorikan sebagai warisan orang Petalangan, rumpun Melayu Proto yang
mendiami desa pinggir hutan di Kepulauan Riau (Hasbullah dan Awang Azman, 2017).
Elemen pemikiran dalam pantun warisan Melayu
Bentuk dan alur pemikiran pengarang dalam konteks genre sastera moden mahupun tradisional
dapat dikenal pasti dan ditafsirkan dari tema dan persoalan serta mesej yang dikumandangkan kepada
penerima. Pantun tidak terkecuali dari menjadi pelantar kearifan tempatan dengan bentuknya yang
tersendiri yang menjadi ruang kepada pencipta pantun silam melontarkan pemikiran tertentu.
Perbincangan mengenai pemikiran dalam pantun perlu mempertimbangkan fungsinya dalam kehidupan
seharian. Pantun adalah puisi yang mengungkapkan pemikiran kepada khalayak (Mohd Taib Osman,
1996:5). Mesej yang disampaikan melalui puisi, sama ada secara lisan atau tulisan cukup menjelaskan
proses komunikasi yang berlaku dalam budaya Melayu. Seperti peribahasa, pantun bersifat kompak dan
memerlukan kejituan dalam membawa pemikiran melalui rangkap pembayang dan maksudnya.
Proses menghasilkan pantun, tidak hanya mementingkan kreativiti dalam vakum, sebaliknya
adalah bentuk komunikasi strategik yang menyeimbangkan estetika dan pemikiran. Proses ini dapat
ditanggap melalui analisis dan dimensi yang sistematik. Dengan menggunakan Pengkaedahan Melayu,
beberapa sampel pantun warisan yang dipaparkan dalam media sosial DBP akan dinilai.
Kebanyakan pantun warisan Melayu menjadikan alam sebagai sumber ilham melalui penciptaan
pembayang dan maksudnya. Hal ini bertepatan dengan prinsip asas Pengkaedahan Melayu iaitu
Pengkaedahan Alamiah yang berteraskan cara atau sikap hidup masyarakat Melayu yang menjadikan alam
sebagai sebahagian daripada dirinya (Hashim Awang, 1994: 330-331).
Berdasarkan pantun yang disiarkan pada 18 Ogos 2023, unsur alam seperti buluh betung dijadikan
pembayang kepada pantun nasihat yang mengingatkan setiap orang agar sentiasa bersikap rasional
walaupun berada dalam situasi yang menguntungkan atau memberi manfaat yang diinginkan. Pantun
yang dikumpulkan dari warisan komuniti Melayu Riau ini jelas memberi ingatan bahawa setiap perbuatan
perlulah sentiasa diawasi seperti mana kita berjaga-jaga ketika mengerat buluh kerana jika kita alpa, maka
kita yang akan mendapat kesan yang buruk atau ditimpa bencana. Perhatikan bait penuh pantun itu:
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 441 -