Page 453 - Proceedings Collega2023
P. 453
Elemen kreativiti dalam pantun warisan Melayu
Pantun merupakan ungkapan berirama dan mempunyai makna yang mempunyai nilai estetika
yang menarik perhatian khalayaknya. Nilai keindahan pantun berhubung rapat dengan genre pantun
sebagai tradisi lisan yang menekankan kepada kaedah penyampaian yang mudah diterima, diingati dan
disampaikan kepada generasi berikutnya. Oleh itu, pemilihan perkataan yang sesuai dan menarik dalam
pembayang dan maksud pantun perlulah disulam nilai kreativiti tersendiri. Bagi aspek kreativiti, elemen
ditekankan ialah dari sudut teknikal antaranya teknik penulisan, format pantun, suku kata dan tanda
bacaan yang digunakan.
Kesemua sampel pantun yang dikaji mempunyai kreativiti yang melengkapi bentuknya sebagai
pantun yang baik. Misalnya pantun berikut:
Batang nangka putik sejari
Rebah ke tanah lapuk terbuang;
Abang menyangka adik sendiri
Rupanya sudah duduk bertunang.
(Khazanah Pantun Melayu Riau DBP, 2007; hantaran 29 Ogos 2023)
Pantun yang dimuatkan pada hantaran bertarikh 29 Ogos 2023 digolongkan sebagai pantun kasih
sayang yang dikumpulkan dalam antologi Khazanah Pantun Melayu-Riau. Perasaan kecewa digambarkan
dengan kreatif apabila unsur alam iaitu pokok nangka yang masih muda tumbang dan rosak terbuang
sebagaimana punahnya perasaan seorang lelaki yang kecewa kerana wanita idamannya sudah bertunang.
Pembayang pantun yang direka sedemikian rupa juga membayangkan unsur kejutan yang teramat sangat
kerana batang pohon yang masih muda akhirnya terbuang begitu sahaja. Selain itu, pencipta pantun itu
dengan kreatif mengehadkan suku kata pada setiap baris antara 8 ke 12 suku kata sahaja. Untuk
melengkapkan ungkapan berirama sesebuah pantun, rima tengah dan hujung dalam pantun ini disusun
dengan baik dalam rima a-b-a-b.
Kreativiti dalam pantun Melayu juga dapat dilihat dengan penggunaan kiasan dengan maksud
yang tersirat. Ianya sejajar dengan budaya Melayu yang menunjukkan kearifan pemantun yang
menggunakan simbolik alam sekeliling yang boleh diterjemahkan dalam pelbagai sisi pandangan yang
subjektif. Hal ini dapat dilihat dalam pantun berikut:
Sejak meranting tangkai mempelam,
Banyaklah rotan tumbuh di padang;
Sejak kucing pandai menyelam,
Banyaklah ikan menempah pedang.
(Khazanah Pantun Melayu Riau, DBP, 2007; hantaran pada 8 Ogos 2023)
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 440 -