Page 235 - Proceedings Collega2023
P. 235
disokong oleh Othman et al. (2020) iaitu “Amalan Terbaik Pengajaran Bahasa Melayu” berkenaan dengan
‘memasukkan elemen KBAT dalam PdPc’ mencapai min 2.84.
Pelaksanaan KBAT tidak dapat direalisasikan oleh guru sekiranya guru itu sendiri kurang mahir
menerapkan KBAT dalam kemahiran berbahasa. Kemahiran mendengar dan bertutur merupakan
kemahiran awal dalam PdPc yang dilaksanakan di dalam bilik darjah. Sekiranya guru kurang menerapkan
KBAT dalam kemahiran mendengar dan bertutur dalam PdPc aspek ilmu seni bahasa, maka akan
menyebabkan murid tidak melibatkan diri secara aktif dalam PdPc. Menurut Ramli, Ghani, Atoh dan Romli
(2019) menjelaskan bahawa tiada elemen KBAT dalam pengajaran bidang kemahiran mendengar melalui
penggunaan kit media cakera cerita adalah memberikan kesan terhadap kesediaan yang sederhana dalam
kalangan guru pelatih. Permasalahan ini menampakkan guru belum menguasai KBAT dengan sebaiknya.
Menurut Mahamod dan Lim (2021), menyatakan bahawa dalam pengajaran Komponen Sastera (KOMSAS)
di sekolah tidak terlalu banyak ditekankan aras penyoalan yang tinggi. Oleh itu, pelaksanaan KBAT oleh
guru dalam pengajaran aspek seni bahasa menjadi perkara yang perlu dikaji oleh penyelidik.
Selain itu, pengajaran seni bahasa turut melibatkan kemahiran membaca puisi, teks cerita dan lirik
lagu. Permasalahan yang berlaku adalah kurangnya pengetahuan dan kemahiran guru pada aras mencipta
dalam pengajaran di dalam kelas hingga memberikan kesan kepada murid tidak dapat menguasai KBAT
(Ariffin, Bakar dan Ahmad, 2019). Perkara ini juga menyebabkan guru tidak menekankan terhadap aras
penciptaan dalam aktiviti seni bahasa. Menurut Osup (2013) menjelaskan bahawa aktiviti seni bahasa
melalui genre sastera leka main ini mendapati bahawa guru jarang menggalakkan murid untuk mencipta
leka main sewaktu pengajaran dilaksanakan selepas pembacaan teks sastera oleh murid serta kurangnya
penglibatan diri dalam kesusasteraan puisi rakyat dalam kalangan guru. Oleh itu, pengajaran seni bahasa
melalui kemahiran membaca tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana kurangnya pengetahuan guru
dalam pendedahan sastera dan kemahiran guru dalam aras mencipta daripada pembacaan puisi juga tidak
dikuasai dengan sebaiknya.
Di samping itu, pendekatan yang kurang bersesuaian dalam pengajaran kemahiran menulis juga
menjadi permasalahan kepada proses pembelajaran murid dalam mengimplementasikan KBAT. Menurut
Aziz dan Abdul Rahman (2018) menjelaskan bahawa guru lebih menyukai kaedah tradisional iaitu
menggunakan strategi berpusatkan guru kerana mereka mahu menghabiskan sukatan pelajaran. Perkara
ini menyebabkan murid kurang bermotivasi untuk belajar kerana murid kurang berpeluang untuk menjana
idea bagi menyelesaikan masalah dan menjadikan pengajaran secara sehala sahaja iaitu lebih kepada
pengajaran yang berpusatkan guru semata-mata dan menampakkan tiada kreativiti dalam PdPc yang
dilaksanakan oleh guru untuk mempelbagaikan kaedah, pendekatan dan strategi pengajaran.
OBJEKTIF KAJIAN
Kajian yang dijalankan oleh penyelidik adalah untuk:
a) Menilai tahap pengimplementasian KBAT bagi aspek seni bahasa melalui kemahiran mendengar
dan bertutur dalam kalangan guru semasa pembelajaran dan pemudahcaraan Bahasa Melayu di
sekolah rendah.
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 222 -

