Page 20 - Proceedings Collega2023
P. 20

Buku Penyembuhan Praktis dengan Pijat Urat dan Ubat Kuno yang Mujarab, ditulis oleh M.B.
               Rahimsyah (2005) mengatakan bahawa kunci kesihatan manusia adalah peraliran darah yang lancar. Jika
               darahnya lancar, maka sihatlah dia. Namun, jika peredaran darah terganggu, kesihatan badannya ikut
               terganggu.  Ketegangan  otot  atau  saraf  boleh  mengakibatkan  peredaran  darah  seseorang  terganggu.
               Misalnya,  otot  atau  saraf  ‘tersepit’  atau  berubah  kedudukannya  akan  menghambat  peredaran  darah
               hingga bahagian tersebut mudah terkena penyakit. Tambahan pula, gangguan atau penyakit boleh datang
               daripada unsur luaran mahupun dalaman. Contoh unsur luaran adalah disebabkan oleh kejadian seperti
               terjatuh, kemalangan dan keracunan. Contoh unsur dalaman pula adalah fikiran kalut dan emosi. Jika
               peredaran darah baik maka virus dan bakteria boleh menghapuskan sel-sel darah putih dan hal ini boleh
               dihilangkan menerusi teknik urut. Jika ada gangguan seperti berikut, peredaran darah akan terjejas malah
               akan menyebabkan perubahan kimia dalam tubuh.

                       Selain itu, terdapat juga dalam kalangan golongan wanita yang masih memerlukan khidmat urutan
               tradisional  ini  dalam  urusan  untuk  bersalin.  Perkara  ini  membuktikan  urutan  tradisional  Melayu  ini
               merupakan kearifan tempatan yang masih diperlukan dalam dunia serba moden ini dan harus dipelihara
               agar tidak hilang ditelan pengaruh asing yang akan mendominasi aktiviti ini pada satu hari nanti. Menurut
               Sharifah Umi Kelesom Syed Mohamed Zin (2009) dalam bukunya yang bertajuk Urut Tradisional Melayu:
               Warisan Opah Umi mengatakan bahawa urut itu penting terutama bagi wanita selepas melahirkan anak
               dan memasuki usia tiga puluhan. Urut mampu membuang angin dalam badan sekali gus melancarkan
               perjalanan  darah,  menghilangkan  rasa  kebas  dan  lesu,  memperoleh  tubuh  lebih  sihat  dan  menjaga
               kelangsingan tubuh. Beliau juga turut mengatakan bahawa urut tradisional bukan sahaja penting buat
               wanita selepas bersalin malah penting jika diamalkan oleh wanita muda yang mengetahui akan kebaikan
               berurut tersebut. Hal ini kerana urutan mampu mengesan penyakit yang berpunca daripada urat saraf
               serta melegakan badan seseorang selepas mereka telah seharian penat bekerja.

                       Menurut Sharifah Umi Kelesom (2009) lagi, tujuan berurut bagi wanita khususnya juga adalah
               membetulkan  dan  menaikkan  sistem  peranakan  sekali  gus  mengatasi  masalah  prolaps  rahim  (rahim
               menurun), membetulkan kedudukan bayi dalam kandungan, membetulkan urat-urat yang tersimpul dan
               terseliuh, memecahkan ketulan darah beku dan membuang angin meroyan. Noruddin (2018) mengatakan
               bahawa mak bidan atau dukun beranak merupakan tokoh tumpuan masalah kesihatan wanita pada zaman
               dahulu kala dan hingga tahun 1950-an, golongan wanita di Singapura misalnya masih melahirkan bayi di
               rumah dengan bantuan bidan tersebut. Hari ini, khidmat bidan dan tukang urut terhad kepada penjagaan
               sebelum dan sesudah bersalin, contohnya khidmat ibu dalam tempoh berpantang atau terapi urut secara
               am. Orang Melayu mempercayai urutan selepas bersalin dapat melancarkan peredaran darah. Apabila sesi
               urutan  tidak  dilakukan,  kemudaratan  kepada  ibu  yang  sedang  berpantang  boleh  membawa  “angin”,
               menyebabkan  darah  tinggi  dan  kanser.  Selain  itu,  urutan  perubatan  (fisioterapi)  dikatakan  boleh
               membantu untuk mengurangkan kesakitan otot dan membawa penyakit darah tinggi. Selain urut Melayu
               berperanan dalam memberi kelegaan pada kelesuan dan sakit-sakit badan, urut Melayu juga meliputi
               urutan-urutan seperti urutan pasca angin ahmar (stroke), urutan selepas bersalin serta urutan khusus
               untuk penyakit kronik seperti darah tinggi, dan kencing manis.

                       Selain urutan Melayu tradisional ini tertumpu pada urutan anggota badan tertentu, urutan khusus
               bagi  kaum  wanita,  terdapat  juga  urutan  yang  tertumpu  kepada  kaum  lelaki,  iaitu  urutan  batin  bagi
               pemulihan zakar lelaki. Perubatan tradisional yang berkaitan seni urutan batin lebih dikenali sebagai sakit
               tuan. Sakit tuan didefinasikan sebagai penyakit dan masalah fungsi pada zakar, kerandut zakar dan masalah
               lain yang berkaitan (Mohd Faizal Musa 2014). Antara masalah yang sering dirujuk ialah masalah mati pucuk


               International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 7 -
   15   16   17   18   19   20   21   22   23   24   25