Page 19 - Proceedings Collega2023
P. 19
minyak, jamu atau herba yang digunakan serta pantang-larang dalam perubatan tradisional Melayu
tersebut. Kaedah atau teknik urutan dalam perubatan tradisional Melayu adalah berbeza-beza mengikut
sesuatu komuniti. Teknik urutan ini juga adalah berbeza mengikut jenis penyakit yang ingin dirawat. Tidak
semua penyakit disembuhkan dengan menggunakan teknik urutan. Namun, terdapat beberapa penyakit
yang memerlukan kaedah atau teknik urutan dalam proses merawat sesuatu penyakit dalam perubatan
tradisional Melayu ini.
Pakar bedah pada awal abad ke-20, iaitu P.N. Gerrard (1905) menyenaraikan istilah urut atau
massage dalam glosari tulisannya yang berjudul A Vocabulary of Malay Medical Terms menjelaskan,
massage atau urut merujuk kepada teknik superficial pinching atau chubit, deep pinching atau ambil urat,
deep pressure dan grasping atau pigit, punching atau tumbok, following tendons with pressure atau urut,
meramas atau memijitkan. Menurut Haliza (2000), beliau menyifatkan amalan berurut sebagai perbuatan
menggosok sambil menekan bahagian tertentu oleh bomoh urut atau seseorang untuk menghilangkan
ketegangan atau kelenguhan. Menurut beliau juga, setiap pengamal memiliki teknik sendiri untuk
mencapai matlamat tersebut. Sambil menukil bomoh urut kajiannya, pada asasnya, mengurut
memanfaatkan konsep fisiologi tubuh. Seterusnya, Haliza (2000) turut mengatakan bahawa pedoman
pertama tukang urut adalah mengenal bahagian tubuh dan urat yang terkandung. Prinsip kedua adalah
memudahkan urat dilentur dengan menyapu minyak agar licin dan berupaya menolak angin. Ketika
berurut, tukang urut akan memusingkan bahagian-bahagian lengan, pergelangan tangan dan kepala
secara lembut ke kiri dan kanan serta atas dan bawah. Jari tangan dan kaki akan dipicit. Kelopak mata pun
dipicit perlahan. Semua dilakukan demi menghilangkan ketegangan. Rambut juga ditarik untuk
mengeluarkan angin daripada akarnya. Menurut Rahimsyah (2005) juga, selain menyatakan perihal
menggunakan ibu jari dan jari telunjuk, menekankan bab titik urut pada bahagian tubuh juga adalah sama
seperti yang diamalkan oleh orang Cina, iaitu reflexology points.
Selain itu, teknik urutan ini juga kadang kala memerlukan rawatan tambahan seperti bekam dan
urutan ini pula memerlukan minyak atau herba yang bersesuaian untuk melengkapkan proses sesuatu
urutan tersebut. Teknik urutan ini merupakan salah satu aspek dalam perubatan tradisional Melayu yang
menjadi antara khazanah bangsa Melayu yang perlu diteruskan kearifannya agar dapat diwarisi oleh
generasi akan datang. Sehubungan dengan itu, kemahiran urutan seakan tidak boleh dipisahkan daripada
dunia perubatan tradisional Melayu. Menurut kajian sebelum ini, urut secara amnya mempunyai tujuan
yang sama, iaitu untuk melancarkan peraliran darah, memulihkan urat dan otot serta menghilangkan
ketegangan. Hal tersebut tercapai dengan menggunakan gabungan teknik urutan, bahan seperti dedaun,
rempah-ratus dan minyak, ilmu tukang urut itu sendiri dan melibatkan unsur psikologi dan fisiologi
manusia, iaitu sentuhan daripada manusia lain dalam masa kesakitan.
Penyelidik bidang Antropologi Perubatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), iaitu Haliza
Mohd Riji dalam bukunya yang bertajuk Prinsip dan Amalan dalam Perubatan Melayu (2000) mengatakan
bahawa urut memiliki beberapa tujuan. Tujuan pertama adalah berurut boleh memulihkan kesegaran
kerana angin tersendat boleh dilepaskan hingga pesakit rasa ringan. Urut sebegitu dilakukan ke atas badan
secara keseluruhannya dan kebiasaannya dalam kalangan mereka yang letih bekerja sehari suntuk. Tujuan
kedua berurut adalah untuk memulihkan apa yang dikatakan sebagai ‘demam urat’, iaitu demam akibat
kegiatan jasmani yang jarang dilakukan dan tujuan ketiga pula adalah pesakit pergi berurut kerana mahu
melenyapkan bengkak atau lebam akibat sesuatu berbisa atau terkena benda keras. Urut ke atas bengkak
atau lebam ini menyakitkan namun tidak boleh dielakkan.
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 6 -

