Page 17 - Proceedings Collega2023
P. 17
Keunikan masyarakat Melayu turut terlihat dalam kearifan tempatan yang ada, antaranya dalam
terapi seni urutan. Che Noriah et al., (2012) menyatakan bahawa terapi urutan tradisional Melayu adalah
antara kaedah perubatan tradisional Melayu yang berasaskan keilmuan dan pengamalan merangkumi
kebudayaan Melayu dalam segenap aspek kesihatan dan pemulihan kesihatan yang diwariskan. Fathul
Khair & Mardian Shah (2020) dan beberapa sarjana lain berpendapat, seni urutan Melayu ini berkembang
melalui pewarisan secara turun-temurun dalam kalangan ahli keluarga, penyebaran secara lisan atau
secara bertulis. Kearifan tempatan yang merujuk kepada terapi urutan Melayu ini adalah dalam bentuk
kaedah, penggunaan bahan, keilmuan dan falsafah yang terkandung dalam urutan tersebut.
Terdapat ramai pengkaji yang telah melaksanakan kajian tentang urutan tradisional ini, antaranya
Abdul Ghani et al. (2009), Abdul Rani et al. (2015), Che Noriah et al. (2012), Che Noriah et al. (2013), Fariza
Fazil et al. (2012), Haniza et al. (2010), Mohd Faizal Musa (2014), Norizan et al. (2018), Rosliza dan Suriani
(2017) dan Wan Farzana et al. (2017). Namun demikian, kajian-kajian ini khusus menyentuh aspek
keberkesanan, jenis urutan dan bahan-bahan yang digunakan. Terdapat juga kajian seperti yang dilakukan
oleh Fathul Khair & Mardian Shah (2020) yang memfokuskan kepada aspek penerimaan, nilai komersial
dan kerjaya tukang urut itu sendiri. Namun tidak ramai yang membicarakan tentang isu pengaruh asing ini
pada hari ini dalam seni urutan Melayu. Walaupun ada, hanyalah sedikit yang dibicarakan dalam Fathul
Khair & Mardian Shah (2020). Justeru, kajian ini cuba meneliti pengaruh asing yang ada dan kesannya
terhadap kearifan tempatan ini agar satu mekanisme dapat difikirkan dalam mengangkat dan melestarikan
kearifan tempatan ini. Selain itu, kajian ini turut meneliti dalam mengenal pasti apakah fenomena yang
menyebabkan perkara ini boleh berlaku.
Konsep Kearifan Tempatan
Kearifan tempatan atau yang disebut sebagai kearifan lokal “local wisdom” dapat difahami sebagai
usaha manusia yang menggunakan akal budinya untuk bertindak dan bersikap positif terhadap sesuatu
objek atau peristiwa yang terjadi dalam ruang tertentu. Kearifan tempatan merujuk kepada kebijaksanaan
cerdik pandai dalam lingkungan setempat sama ada peringkat kampung, daerah mahupun kawasan yang
luas seperti negeri atau serantau. Suswandari (2017) menyatakan bahawa kearifan tempatan
mengandungi tatanilai, etika, norma, aturan dan keterampilan sesuatu komuniti dalam memenuhi cabaran
keberlangsungan hidupnya.
Mohd. Anuar Ramli et al. (2018) menyatakan kearifan tempatan sebagai kebijaksanaan cerdik
pandai setempat dalam menformulasikan solusi dan strategi untuk kepentingan kelangsungan sesebuah
masyarakat dalam pelbagai aspek kehidupan sama ada ilmu pengetahuan, teknologi, bahasa, sosial,
ekonomi, kesenian dan keagamaan sama ada dalam bentuk eksplisit atau implisit. Selain itu, Mungmachon
(2012) merumuskan kearifan tempatan sebagai pengetahuan asas yang diperoleh daripada keseimbangan
hidup dengan alam dan hal tersebut berkaitan dengan budaya dalam sesebuah masyarakat yang bersifat
terkumpul dan diturunkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Menurut Teezzi et al. (2012),
rentetan daripada kearifan tempatan ini wujud pula suatu tradisi atau yang berkaitan dengan agama.
Dalam masyarakat Melayu, kearifan tempatan dapat ditemui seperti dalam nyanyian atau pepatah yang
melekat dalam perilaku seharian. Ringkasnya, kearifan tempatan lebih menggambarkan satu fenomena
spesifik yang biasanya akan menjadi ciri khas dalam sesuatu komuniti atau kelompok tertentu.
Kearifan tempatan merupakan khazanah bangsa yang menggambarkan citra, tradisi dan identiti
sebenar serta kekuatan semangat sesebuah bangsa yang besar dan hebat. Kearifan tempatan dianggap
sebagai satu cabang ilmu kerana dibina daripada pengalaman sebenar yang dialami dalam waktu yang
panjang dan bertunjangkan budaya tempatan yang diterapkan ke dalam amalan masyarakat. Kearifan
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 4 -

