Page 18 - Proceedings Collega2023
P. 18
tempatan juga dikatakan sebagai satu disiplin ilmu yang berkembang dan menjadi penelitian yang menarik
perhatian dunia. Disiplin ini adalah untuk mengiktiraf dan meraikan kebijaksanaan tempatan dalam aspek
kreativiti, penciptaan dan perekayasaan bahan gunaan oleh penduduk tempatan bagi sesuatu kawasan.
Oleh yang demikian, kearifan tempatan tidak hanya bersifat kebendaan tetapi juga melakarkan kearifan
yang bersifat intelektualisme dan nilai budaya yang berupaya berdepan dengan pelbagai kerencaman
masyarakat. Kearifan tempatan yang dimiliki sesuatu bangsa mampu bertindak sebagai pemberi
maklumat, petunjuk, nasihat atau serangkai ilmu untuk strategi kehidupan serta menjadi alat untuk
kelangsungan dan kedinamikan sesuatu bangsa.
Seni Urutan Melayu Tradisional
Perubatan tradisional Melayu merupakan salah satu kearifan tempatan. Istilah perubatan
tradisional adalah untuk membezakan dengan istilah yang lain seperti perubatan moden, perubatan
alternatif, perubatan Islam, perubatan kesufian, perubatan homeopati atau perubatan etnik. Konsep
tradisional selalu dihubung kait dengan makna lama dari zaman kewujudan dan kehadirannya dalam
sesuatu tamadun bangsa. Aspek kelangsungannya dalam masyarakat berterusan dari zaman dahulu, kini
dan akan datang. Tradisional juga merujuk kepada ciri-ciri tersendiri yang berbeza dengan yang lain.
Seni Urut Melayu ialah satu cara perubatan tradisional masyarakat Melayu terutamanya pesakit-
pesakit saraf, pesakit urat, pesakit selepas bersalin, pesakit strok dan lain-lain lagi untuk keperluan
kesihatan dan kecantikan. Kecenderungan pesakit mendapatkan rawatan tersebut telah menjadikan
urutan Melayu tradisional menjadi pilihan utama selain rawatan tradisional China seperti akupunkture,
rawatan tradisional India, Ayurvedhic dan lain-lain lagi. Ternyata urutan Melayu menjadi pilihan utama,
bahkan pelbagai bangsa telah berminat mendapatkan rawatan urutan Melayu tradisional ini. Urutan
Melayu dianggap sebagai bentuk perubatan secara tradisional yang menjadi pilihan pengamal-pengamal
urutan tersebut yang bukan sahaja menjadi sebagai sumber pendapatan bahkan sebagai tanggungjawab
kepada tuntutan sosial.
Cambron et al. (2007) berpandangan bahawa urutan sangat terkenal dalam konteks disiplin
perubatan alternatif dan komplementari dan rawatan jenis ini sentiasa mendapat tempat dan terus
berkembang mengikut peredaran zaman. Walaupun dunia masa hari ini sudah mempunyai perubatan
moden yang dilengkapi dengan peralatan yang serba canggih dan diikuti pula dengan kepakaran para
pengamal perubatan, masyarakat dunia tidak teragak-agak untuk memilih rawatan urutan bagi
memulihkan kesakitan pada otot atau tulang yang mereka alami. Ernst (2003) dan Abdul Rani et al. (2015)
berpandangan bahawa urut boleh didefinisikan sebagai manipulasi tisu lembut badan yang bersistematik
dengan tujuan untuk pengurangan kesakitan atau tujuan terapi lain seterusnya meningkatkan tahap
kesihatan seseorang. Urutan yang dimaksudkan adalah daripada aktiviti menggosok, memicit dan
menekan dengan tekanan tertentu mengikut tahap kesakitan pesakit.
Menurut Harun Mat Piah (2015), perubatan tradisional Melayu mempunyai satu sistem dan
pendekatan yang eksklusif dari segi konsep terhadap penyakit, mendiagnosis penyakit, merawat penyakit,
mengubat penyakit, pantang larang dan cara mengelak penyakit serta kaedah rawatan, ramuan dan proses
pembuatan ubat, istilah-istilah yang digunakan dan aspek yang lain secara keseluruhan. Menurut
Nazarudin Zainun (2015), kearifan tempatan bukan memperlihatkan kebijaksanaan orang Melayu
memanfaatkan persekitarannya, malah mengaplikasikan kemahiran serta menghubungkaitkan dengan
persekitaran yang ada dalam kehidupan harian. Terdapat pelbagai kearifan tempatan dalam perubatan
tradisional Melayu. Antaranya adalah kaedah atau teknik mengurut dalam perubatan tradisional Melayu,
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 5 -

