Page 1068 - Proceedings Collega2023
P. 1068
Kearifan Tempatan Dalaman bagi Peningkatan Kualiti Kesihatan Fizikal, Mental dan Spiritual
Pemilihan jenis tanaman dalam sistem pertanian bandar dapat mempengaruhi penggunaan
sistem tersebut dari segi peningkatan kualiti kesihatan fizikal, mental dan spiritual. Tanaman herba seperti
serai wangi dan daun lengkuas digunakan sebagai bahan utama dalam mandian dan urutan. Situasi ini
disokong oleh pemerhatian yang menunjukkan bahawa, seorang komuniti perumahan di PUI
mendapatkan bahan-bahan mandian herba untuk isterinya bagi mandian wanita selepas bersalin di salah
satu lot tanaman peserta pertanian bandar. Selain itu, tanaman ini turut dicampurkan sebagai bahan
sampingan dalam minyak urut bagi peningkatan kualiti minyak tersebut. Informan 11 menceritakan
penggunaan tanaman herba bagi tujuan kesihatan fizikal seperti yang berikut:
“Kalau nak tungku badan, boleh guna daun serai wangi dan daun lengkuas. Herba untuk orang
bersalin semua ada kat sini. Ada orang luar datang nak minta serai wangi untuk buat mandi masa
pantang. Tukang urut pun datang sini nak beli pokok herba saya, dia buat minyak kambing gurun,
campur dengan serai wangi. Komuniti sini memang datang sini, orang luar pun ada datang.”
Dalam pada itu, mandian herba ini turut sesuai diamalkan oleh setiap wanita bagi tujuan
kesegaran tubuh badan sebagaimana yang diamalkan oleh peserta pertanian bandar di RPAU2. Manakala,
daun semambu sering kali digunakan bagi mengubati demam campak dan daun bidara dipercayai dapat
memelihara kanak-kanak daripada gangguan makhluk halus. Kenyataan ini, disampaikan oleh Informan
12 yang menjelaskan manfaat tanaman herba dari aspek kesihatan fizikal dan spiritual:
“Ada juga yang datang minta nak serai wangi, daun pandan untuk mandi herba. Mandi untuk lepas
pantang. Saja-saja nak mandi pun boleh. Bila mandi herba tu, badan jadi ringan, jadi segar sebab
bau herba tu. Rebuskan daun herba tu, buat mandi pagi dengan petang. Kadang-kadang acik pun
buat juga mandi herba tu bila sempat. Daun semambu tu pula untuk demam campak. Daun bidara
tu orang selalu kata untuk elakkan syaitan kena dekat budak kecik. Dulu lah.”
Dari sudut pandang yang berbeza, kewujudan pertanian bandar semakin mendapat perhatian
terutamanya semasa penularan wabak COVID-19. Hal ini dikatakan demikian kerana, tempoh pelaksanaan
PKP mengehadkan jarak perjalanan komuniti bandar yang menyebabkan kekangan dari segi pengurusan
tekanan. Keupayaan sistem pertanian bandar jelas dilihat dalam peningkatan kualiti kesihatan mental.
Tapak pertanian bandar menjadi tumpuan komuniti yang tidak hanya tertumpu pada aktiviti pertanian,
malah ia menjadi pusat tumpuan bagi komuniti bandar untuk beriadah. Tambahan pula, sekatan
perjalanan menyebabkan komuniti bandar tidak dapat pulang ke kampung halaman mahupun bercuti bagi
tujuan aktiviti kekeluargaan dan pengurusan tekanan. Sebagai alternatif, tapak pertanian bandar dipilih
sebagai lokasi riadah bagi individu, keluarga dan komuniti. Pernyataan ini disokong oleh Informan 02 yang
dapat mengaitkan manfaat dari aspek kesihatan fizikal, mental dan spiritual:
“Kesihatan pula lagi bagus, ada exercise. Berpeluh pagi-pagi. Tak ada la kemurungan duduk
rumah. Kami dapat jumpa kawan-kawan, dapat menanam. Sebab kita kan orang Islam, dengan
pokok bercakap-cakap, bagi rangsangan kepada kita. Sebab kita berzikir kan…Subhanallah macam
tu. Jadi kita seronok la.”
Dalam hubungan ini, sistem pertanian bandar dikesan sebagai amalan yang dapat meningkatkan
kualiti hidup komuniti bandar. Indikator bagi kualiti hidup dikategorikan kepada aspek fizikal, psikologi,
perhubungan sosial dan kualiti alam sekitar yang secara asasnya dapat dicapai dalam aktiviti pertanian
bandar (Hassan et al., 2022). Keupayaan dalam peningkatan kualiti hidup khususnya kesihatan fizikal dan
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page 1055

