Page 1063 - Proceedings Collega2023
P. 1063

Pengenalan

                       Makanan, pakaian dan tempat berlindung merupakan keperluan asas yang diperlukan oleh setiap
               individu. Lengkapnya keperluan asas ini dapat meningkatkan taraf kehidupan seterusnya menyumbang
               kepada  kesejahteraan  hidup. Kesejahteraan  hidup  dapat  dicapai  dalam  jangka  masa  panjang melalui
               pekerjaan yang baik berasaskan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki oleh setiap individu (Pinto et
               al.,  2017).  Sehingga  kini,  pelbagai  usaha  telah  diperkenalkan  oleh  pihak  kerajaan  melalui  dasar  yang
               berkaitan  bagi  memastikan  kelangsungan  kesejahteraan  hidup  terutamanya  melalui  program  yang
               bermatlamat  membangunkan  komuniti.  Program  yang  dibangunkan  meliputi  proses  peningkatan
               ketahanan komuniti dengan memberi penekanan kepada pengetahuan dan kemahiran yang memiliki ciri
               kearifan tempatan.
                       Selaras  dengan  program  pembangunan  komuniti  yang  dijalankan  dan  disesuaikan  dengan
               keadaan semasa negara iaitu fasa peralihan ke endemik wabak penyakit koronavirus 2019 (COVID-19),
               manfaat Program Pertanian Bandar semakin mendapat perhatian dan diterokai oleh pelbagai kumpulan
               individu dan komuniti bandar. Kajian terdahulu menunjukkan bahawa pelaksanaan pertanian bandar yang
               mampan berupaya meningkatkan kualiti sosial (Abdullah Ayeop et al., 2018; Zainal & Mohd Zainol, 2021),
               ekonomi (Krikser et al., 2019; Swanepoel et al., 2017) dan alam sekitar (Saprykina, 2022; Walters &
               Midden, 2018). Walau bagaimanapun, dorongan bagi pelaksanaan pertanian bandar berskala kecil atau
               sederhana  di  kawasan  perumahan  lebih  tertumpu  kepada  penghasilan  makanan  segar  (84%)  dan
               penambahbaikan  persekitaran  perumahan  dan  kesihatan  penduduk  (60%)  (Bussell  et  al.,  2017).
               Sebaliknya, hanya 39% adalah bagi penyediaan kawasan interaksi sosial komuniti (McDougall et al., 2019).
               Maka, kajian ini bermatlamat untuk meneroka keupayaan pertanian bandar sebagai wadah kesejahteraan
               komuniti selain bertindak dalam pembekalan sumber makanan tempatan.




               Senario Pelaksanaan Pertanian Bandar

                       Pertanian bandar ialah aktiviti pengeluaran hasil pertanian iaitu tanaman dan ternakan di kawasan
               bandar tanpa ketetapan saiz khusus tapak, namun lebih tertumpu kepada aktiviti penanaman berbanding
               penternakan (Kumari & Shirisha, 2022). Dalam usaha mewujudkan sumber makanan tersebut, aktiviti ini
               boleh  dilaksanakan  sama  ada  di  kawasan  persendirian  mahupun  awam  dan  secara  individu  atau
               berkumpulan (Ding et al., 2018). Pemilihan kepelbagaian dan kesesuaian jenis tanaman pula adalah bagi
               menambah baik penghasilan sumber makanan harian yang diperlukan oleh setiap isi rumah (Nogeire-
               McRae et al., 2018). Justeru, penghasilan sumber makanan tidak formal ini melibatkan proses penanaman,
               pemprosesan,  pembungkusan  dan  pengedaran  produk  makanan  segar  dan  hiliran.  Ia  adalah  bagi
               kegunaan  persendirian  isi  rumah,  sumbangan  untuk  jiran  tetangga  atau  pasaran  kepada  komuniti
               setempat (Meenar et al., 2017).

                       Selain  kepelbagaian  tanaman,  pertanian  bandar  yang  dilaksanakan  perlu  bersesuaian  dengan
               persekitaran tempatan. Penggunaan ruang pertanian harus berupaya melengkapi dan mewujudkan reka
               bentuk  bandar  yang  sistematik.  Kebanyakan  kajian mengetengahkan  penggunaan  ruang  terbiar  yang
               terhad untuk dibangunkan sebagai tapak pertanian bandar dalam skala kecil terutamanya di kawasan
               perumahan (Gasperi et al., 2016; Mancebo, 2016; Newell et al., 2022). Sementara itu, pertanian bandar
               dalam skala sederhana atau besar diusahakan di kawasan yang  telah dikhaskan untuk pertanian dan
               memerlukan kebenaran daripada pihak berwajib (Nchanji, 2017). Pertanian bandar sama ada dalam skala
               kecil, sederhana mahupun besar adalah berbeza dari segi penerapan teknologi moden sebagaimana yang
               dilaksanakan dalam bidang pertanian bagi tujuan komersial (Giriwati et al., 2018; Islam & Siwar, 2012).


               International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page 1050
   1058   1059   1060   1061   1062   1063   1064   1065   1066   1067   1068