Page 1064 - Proceedings Collega2023
P. 1064
Kajian terdahulu mendapati bahawa pertanian bandar sering kali dirujuk sebagai strategi
kehidupan bagi golongan berpendapatan rendah dalam usaha untuk meningkatkan kualiti hidup isi rumah
(Diehl et al., 2019). Golongan berpendapatan sederhana pula melibatkan diri dalam pertanian bandar
skala sederhana berbentuk komersial untuk menjana pendapatan sampingan. Hasil pertanian yang
diperoleh tertumpu kepada penghasilan sumber makanan daripada jenis sayur-sayuran yang mudah
untuk dipasarkan di pasaran tempatan (Crush et al., 2017). Sementara itu, keupayaan pertanian bandar
dalam penghijauan di persekitaran perumahan lebih menjadi keutamaan kepada golongan
berpendapatan tinggi. Hal ini dikatakan demikian kerana, golongan ini berkemampuan untuk
mendapatkan sumber makanan secara formal dan tidak tertumpu kepada penjanaan pendapatan hasil
daripada aktiviti pertanian bandar (Jafari & Utaberta, 2015). Maka, dapat disimpulkan bahawa tujuan
pelaksanaan pertanian bandar dipengaruhi oleh kepelbagaian jenis tanaman atau ternakan, skala tapak
pertanian bandar dan taraf hidup penduduk sama ada golongan berpendapatan rendah, sederhana atau
tinggi.
Metodologi Kajian
Kajian ini dilaksanakan dalam bentuk penyelidikan kualitatif melalui pendekatan fenomenologi.
Penyelidikan kualitatif ialah kajian yang berfokus kepada meneroka, memahami, dan menjelaskan makna
dalam permasalahan sosial (Creswell & Creswell, 2018). Ia dilengkapi dengan penggunaan pendekatan
fenomenologi iaitu kajian yang menjelaskan pengalaman kehidupan harian seseorang individu. Fenomena
ini merujuk kepada aktiviti pertanian bandar yang dilaksanakan di kawasan perumahan. Maka, penjelasan
ini dapat dicapai dengan memberi fokus kepada pemahaman inti pati, makna pengalaman dan pandangan
peribadi terhadap sesebuah fenomena yang dialami (Creswell & Poth, 2018; Haradhan, 2018).
Sementara itu, kaedah pengumpulan data yang digunakan ialah temu bual separa berstruktur dan
pemerhatian tidak turut serta. Temu bual separa berstruktur mengetengahkan kemampuan informan
untuk menjawab soalan temu bual secara terbuka, namun penyelidik masih menggunakan lembaran temu
bual sebagai rujukan sepanjang tempoh temu bual berlangsung (Lebar, 2022). Seramai 25 informan dipilih
bagi tujuan temu bual separa berstruktur yang terdiri daripada tiga kategori iaitu peserta pertanian bandar
(17 informan), pemimpin perumahan (4 informan) dan pegawai pembangunan pertanian bandar (4
informan). Temu bual ini turut disokong oleh pemerhatian tidak turut serta terhadap aktiviti pertanian
bandar oleh komuniti perumahan. Pemerhatian tidak turut serta melibatkan penyelidik sebagai pemerhati
tanpa mengganggu aktiviti yang dijalankan dan dapat merakam tingkah laku sebenar informan bagi
memperoleh data yang tulen dan tepat (Eldh et al., 2020). Pemerhatian ini melibatkan di tiga kawasan
perumahan berstrata kos rendah yang aktif melaksanakan pertanian bandar iaitu Pangsapuri Seri Bakawali
(PSB), Pangsapuri Ukay Indah (PUI) dan Rumah Pangsa AU2 Taman Keramat (RPAU2).
Analisis data bagi kajian ini ialah kaedah analisis tematik. Data yang diperoleh daripada kaedah
temu bual dalam bentuk audio rakaman suara diolah semula kepada naskhah bertulis dalam bentuk
transkrip temu bual. Data daripada kaedah pemerhatian direkod melalui nota lapangan, foto dan video
diekstrak sebagai catatan nota lapangan. Sementara itu, perisian NVivo R1 digunakan bagi menganalisis
transkrip temu bual dan catatan nota lapangan. Kemudian, data ini melalui proses pengekodan,
pengkategorian dan pembinaan tema yang bersesuaian dengan merujuk kepada domain kajian bagi
mengenal pasti penemuan baharu kajian. Data yang diperoleh seterusnya ditriangulasi bagi melengkapi
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page 1051

