Page 1067 - Proceedings Collega2023
P. 1067
RPAU2 menunjukkan peserta pertanian bandar sepakat untuk menyediakan juadah makan tengah hari
apabila adanya penganjuran aktiviti di tapak pertanian tersebut (Rajah 2). Kesepakatan ini, makin jelas
terpancar melalui pemakaian tema warna pakaian yang sama dalam kalangan peserta pertanian bandar.
Rajah 2
Kesepakatan Peserta Pertanian Bandar dari Aspek Gotong-Royong dan Pemakaian Pakaian Bertema
Rentetan itu, amalan gotong-royong yang dapat merapatkan ukhuwah kejiranan ini menjadi
kemuncak manfaat pertanian bandar sebagai platform ekosistem sosial, melalui penyediaan ruang sosial
semasa wabak COVID-19. Tapak pertanian dikembangkan peranannya sebagai alternatif kepada tempat
komuniti bandar untuk merasai suasana perkampungan, berikutan sekatan pergerakan yang
mengehadkan jarak perjalanan pulang ke kampung halaman. Situasi ini dipersetujui oleh Informan 17
mengenai permulaan penglibatannya dalam pertanian bandar:
“Akak nak buat kebun ni akak seronok bila dapat bercampur. Bila ada event kat sini, masak sama-
sama. Buat rewang. Jadi ukhuwah tu rapat. Seronok ada suasana kampung tu. Sini la tempat
masak, kat kebun ni.”
Tindakan yang diketengahkan di atas, menunjukkan bahawa tapak pertanian bandar dapat
digunakan sebagai medium modal sosial yang mengetengahkan budaya semangat kejiranan. Modal sosial
dikesan sebagai indikator dalam menilai daya tahan yang melibatkan elemen perpaduan, penyatuan dan
perkaitan antara komuniti rentan bandar (Mpanje et al., 2018). Ketahanan komuniti dengan mengambil
kira tiga elemen tersebut dipengaruhi oleh faktor etnik yang berkemungkinan menyebabkan berlakunya
ketegangan antara budaya (Christensen, 2017). Sebaliknya, kerisauan ini tidak menjadi halangan kepada
tapak pertanian bandar dalam kajian ini, kerana keseluruhan peserta pertanian bandar dan pemimpin
perumahan adalah berbangsa Melayu. Keistimewaan ini turut menjadi pencetus kepada peningkatan rasa
kepunyaan terhadap tapak pertanian bandar secara khususnya dan kawasan perumahan secara amnya.
Dalam pada itu, kesepaduan dan integrasi sosial yang membentuk rasa kepunyaan semakin dapat dicapai
apabila wujud keserasian antara peserta pertanian bandar yang dipengaruhi oleh faktor bangsa dan
jantina (Oktarina et al., 2022). Ironinya, pembentukan ukhuwah dan budaya kedesaan melalui
pelaksanaan pertanian bandar dapat memelihara kearifan tempatan secara luaran dari segi budaya
kejiranan yang semakin sukar ditemui di kawasan bandar (Shostak & Guscott, 2017).
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page 1054

