Page 1071 - Proceedings Collega2023
P. 1071

“Terowong (laluan berbumbung) yang kami buat tu, kami tanam dengan pokok buah…markisa
                       ada, kacang botol ada. Bila berbuah, nampak terjuntai-juntai. Bila dah tua, kami buang. Baru ni,
                       kami ada semai pokok jugak, pokok baru nak naik. Nanti bila dah penuh tu, cantik lah macam dulu.
                       Sekarang ni tinggal pokok sirih je.”

                       Penekanan aspek landskap dalam pertanian diaplikasikan dengan jelas dalam Program Laman
               Hijau  1.0  dan  Program  Laman  Hijau  Strata  2.0  di  PSB  melalui  konsep  taman  dan  kebun.  Konsep  ini
               melibatkan pemilihan dan susun atur tanaman yang berjaya mengindahkan kawasan perumahan secara
               fizikal dan visual. Konsep ini dijelaskan dengan lebih terperinci oleh Informan C, pegawai yang memantau
               prestasi perumahan seperti yang berikut:

                       “Kebun yang berkonsepkan integrasi edible garden dengan landskap. Walaupun ia adalah kebun,
                       tapi kami masukkan elemen landskap. Orang yang memandang pun nampak cantik je kebun tu,
                       sayup je mata memandang. Contohnya masa PKP tu, tak tahu nak pergi ke mana sebab tak ada
                       kawasan nak beriadah kan. Sebab tu dalam Program Laman Hijau, kami cuba terapkan sekali
                       konsep taman dan kebun. Bukan saja tempat untuk berkebun, tapi boleh beriadah juga.”

                       Bertitik  tolak  daripada  penemuan  di  atas,  gabungan  aspek  pertanian  dan  landskap  dapat
               mendedahkan  peserta  pertanian  bandar  kepada  keunikan  pertanian  bandar.  Situasi  ini  menjelaskan
               bahawa, aktiviti pertanian yang dilaksanakan perlu selari dengan lokasi iaitu kawasan perbandaran yang
               harus dilengkapi dengan nilai estetika bandar (Defee, 2017). Ia dipengaruhi oleh elemen landskap lembut
               dan kejur yang sering kali menjadi daya penarik kehadiran komuniti bandar ke kawasan komuniti berpusat
               (Ali  et  al.,  2019).  Justeru,  landskap  bandar  melalui  aktiviti  pertanian  ini  adalah  platform  kepada
               pembentukan bandar yang mampan, berdaya huni dan sihat (Scharf et al., 2019). Hal ini bersangkut paut
               dengan keupayaan sistem pertanian bandar dalam penyediaan pelbagai produk dan khidmat ekosistem
               bandar  yang  dinilai  dari  aspek  daya  tahan  (Tefft  et  al.,  2017).  Khidmat  ekosistem  bandar  dapat
               diterjemahkan kepada khidmat pembekalan, khidmat kawalan, khidmat sokongan, dan khidmat budaya
               (Abas  et  al.,  2020;  Newell  et  al.,  2022).  Jika  diteliti  dengan  lebih  mendalam,  khidmat  pembekalan
               diperoleh  hasil  daripada  elemen  pertanian,  manakala  elemen  landskap  adalah  penyumbang  kepada
               khidmat kawalan, khidmat sokongan dan khidmat budaya. Oleh itu, integrasi empat khidmat ekosistem
               ini dengan penekanan ciri kearifan tempatan melalui amalan pertanian dan landskap  adalah penting
               dalam mewujudkan sistem pertanian bandar yang holistik, lokaliti dan berdaya tahan bersesuaian dengan
               ekosistem bandar.


               Kesimpulan
                       Sebagai kesimpulan, pelaksanaan pertanian bandar yang berfokus kepada pembangunan komuniti
               secara tidak langsung meliputi proses peningkatan daya tahan komuniti yang bertindak dalam memelihara
               kearifan tempatan khususnya kelangsungan tradisi pertanian di kawasan bandar. Kelangsungan tradisi
               pertanian bandar dari aspek sosial dikesan melalui keupayaannya dalam memenuhi kepuasan komuniti
               bandar iaitu penggunaan sistem. Ia terbahagi kepada tiga iaitu kearifan tempatan secara luaran, dalaman
               dan sepanjang hayat. Kearifan tempatan secara luaran tertumpu kepada fungsi pertanian bandar sebagai
               medium modal sosial, manakala kearifan tempatan secara dalaman menekankan aspek fizikal, psikologi,
               perhubungan  sosial  dan  kualiti  alam  sekitar.  Sebaliknya,  kearifan  tempatan  secara  sepanjang  hayat
               melibatkan  gabungan  elemen  pertanian  dan  landskap  bagi  membentuk  lokaliti  kawasan  perumahan.
               Walau bagaimanapun, ketiga-tiga aspek kearifan tempatan ini mempunyai perkaitan yang jelas dengan
               keupayaan komuniti dan sistem pertanian bandar yang memerlukan perhatian terhadap aspek daya tahan.


               International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page 1058
   1066   1067   1068   1069   1070   1071   1072   1073   1074   1075   1076