Page 1048 - Proceedings Collega2023
P. 1048

Objektif Kajian

                       Kajian ini dilakukan berdasarkan dua objektif iaitu mengenal pasti nilai-nilai kearifan mahasiswa
               yang terdapat dalam sajak terbitan Dewan Siswa pada 2023. Selain itu, kajian ini juga dilakukan untuk
               memperlihatkan tahap pemikiran yang dimiliki oleh golongan mahasiswa, khususnya nilai pemikiran yang
               berunsurkan Islam.


               Metodologi dan Kerangka Konsep

                       Kaedah kajian yang diaplikasikan dalam kajian ini ialah kaedah kualitatif, iaitu analisis kandungan.
               Pemilihan data dilakukan secara sampel bertujuan, iaitu data dipilih untuk disesuaikan dengan objektif
               kajian. Namun demikian, kajian ini hanya memilih 24 puisi yang diterbitkan pada tahun 2023. Analisis data
               dilakukan dengan menggunakan kerangka konsep bahawa sastera merupakan satu medium yang amat
               bermanfaat untuk proses dakwah dan pendidikan. Dalam konteks ini, karya sastera berupaya membawa
               konsep  ibadah,  iaitu  menyeru  kebaikan  dan  mencegah  kemungkaran  sebagai  usaha  untuk  menjaga
               hubungan manusia dengan manusia, dan manusia dengan Allah SWT. Pengkaji menerima pakai konsep
               kearifan dan kedudukannya dalam Islam yang dibahaskan oleh Rosele & Ali (2019). Mereka membahaskan
               bahawa Islam menerima konsep kearifan tempatan dalam pelbagai bentuk, termasuklah kata pepatah
               berbentuk nasihat, pantun, syair, cerita lisan dan sebagainya. Oleh itu, pengkaji menggunakan konsep
               tersebut bahawa puisi atau sajak remaja yang  penuh dengan nilai-nilai kebaikan dan nilai Islam akan
               dianggap sebagai satu kearifan.

                       Kearifan merupakan hasil proses pemikiran aras tinggi dan pemahaman ilmu yang lengkap. Dalam
               konteks ini, proses berfikir aras tinggi diperlukan untuk menerapkan nilai-nilai kebaikan dan pemikiran
               Islam dalam puisi atau sajak. Kajian ini akan menganalisis sajak remaja (pelajar sekolah dan mahasiswa)
               berdasarkan matlamat kearifan yang dikemukakan Noor Hissham et al. (2019) bahawa matlamat kesenian
               menurut perspektif Islam adalah untuk (i) membimbing manusia ke arah konsep tauhid dan pengabdian
               diri  kepada  Allah  SWT,  akidah  dan  (ii)  membentuk  akhlak  dan  keperibadian  ideal  yang  membawa
               kesejahteraan dalam kehidupan. Kajian ini merumuskan bahawa kearifan dalam sajak remaja dapat diteliti
               dari  sudut  nilai  dan  pemikiran  yang  diketengahkan,  seperti  nilai  tauhid,  akidah,  akhlak,  ibadah,
               keperibadian,  taubat,  pendidikan,  nasihat,  silaturahim;  atau  unsur-unsur  yang  membawa  kebaikan,
               kesejahteraan, dan sebagainya.



               Bahan Kajian
                       Kajian  ini  menganalisis  kearifan  dan  nilai-nilai  Islam  yang  terdapat  dalam  sajak  remaja  yang
               diterbitkan dalam Dewan Siswa, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebanyak 24 sajak dianalisis dengan
               menggunakan kerangka konsep Islam. Pemilihan data dilakukan secara sampel bertujuan, iaitu data dipilih
               untuk  disesuaikan  dengan  objektif  kajian.  Jadual  1  berikut  ialah  bilangan  puisi  yang  diterbitkan  dan
               bilangan yang dianalisis mengikut bulan terbitan.


               Jadual 1




               International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page 1035
   1043   1044   1045   1046   1047   1048   1049   1050   1051   1052   1053