Page 1047 - Proceedings Collega2023
P. 1047
dapat diperlihatkan melalui pelbagai bentuk, sama ada secara fizikal atau secara abstrak. Kearifan secara
fizikal merangkumi pelbagai ciptaan yang boleh diperhatikan, disentuh dan digunakan secara nyata.
Misalnya, ciptaan kereta canggih merupakan kearifan yang berbentuk fizikal kerana kereta boleh dilihat,
disentuh dan boleh digunakan atau dimanfaatkan. Kearifan yang berbentuk abstrak merangkumi nilai-nilai
amalan, pemikiran, budaya, bahasa, dan sebagainya. Misalnya, kearifan seorang pengukir kayu bukan
sahaja dilihat dari sudut keindahan ukiran, tetapi kearifan yang berbentuk abstrak mereka dilihat melalui
nilai atau makna yang terdapat di sebalik ukiran tersebut. Lazimnya, ukiran kayu orang Melayu akan
membawa nilai-nilai ketuhanan, akidah, pemikiran dan sebagainya.
Pelajar dan mahasiswa turut mempunyai kearifan sesuai dengan tahap pemikiran dan kematangan
mereka. Dalam konteks ini, pengkaji akan menganalisis nilai dan bentuk kearifan mahasiswa yang
terkandung dalam sajak terbitan Dewan Siswa. Penerbitan sajak dalam majalah tersebut melalui proses
penilaian oleh editor majalah. Hal ini menunjukkan bahawa sajak yang terpilih mengandungi nilai dan
pemikiran yang tinggi. Dengan perkataan lain, sajak yang diterbitkan dalam Dewan Siswa merupakan hasil
pemikiran yang kritis dalam kalangan mahasiswa. Oleh itu, kajian ini akan meneliti nilai atau bentuk
kearifan yang terdapat dalam sajak mahasiswa, sehingga sajak mereka terpilih untuk diterbitkan di dalam
majalah Dewan Siswa.
Kajian kearifan tempatan telah banyak dilakukan oleh pengkaji terdahulu. Namun demikian,
pengkaji belum menemui kajian kearifan dalam puisi yang dihasilkan oleh golongan remaja, khususnya
pelajar sekolah dan mahasiswa. Antara pengkaji terdahulu yang mengkaji kearifan tempatan ialah Shahul
Hamid et al. (2017), Abd Rahman (2018), Noor Hissham et al. (2019), Tuah (2022), dan sebagainya. Shahul
Hamid et al. (2017) mengkaji Syair Dang Sirat yang dikategorikan sebagai syair sejarah kerajaan Patani. Abd
Rahman (2018) pula meneliti kearifan tempatan masyarakat Melayu Muslim Langkawi bagi mewujudkan
pembangunan lestari masyarakat, manakala Noor Hissham (2019) meneliti kearifan dalam seni
persembahan Melayu-Islam. Kajian Tuah (2022) pula tertumpu pada kearifan yang terdapat dalam sastera
rakyat Sarawak.
Persoalan Kajian
Lazimnya, tahap dan nilai pemikiran ditentukan oleh umur seseorang. Semakin dewasa, tahap
pemikiran juga memperlihatkan kematangan berfikir dan bertindak. Dalam kajian ini, pengkaji akan
meneliti nilai kearifan dalam kalangan mahasiswa melalui puisi yang dihasilkan oleh mereka. Persoalan
kajian ini ialah apakah nilai kearifan mahasiswa yang terdapat dalam sajak, khususnya nilai dan pemikiran
yang berunsurkan Islam.
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page 1034

