Page 932 - Proceedings Collega2023
P. 932
budaya, fungsi lama juga harus dibina semula bagi memastikan bahawa kehidpuan benar-benar
dipertahankan di tapak warisan budaya dan hubungannya dengan bandar moden dan kumpulan ruang.
Metodologi
Kajian ini akan menggunakan kaedah kepustakaan untuk mencari bahan rujukan tentang bidang
berkaitan. Pengkaji menggunakan sumber rujukan buku-buku dan jurnal sebagai rujukan tambahan untuk
menguatkan isi. Sumber yang diperoleh dapat dijadikan panduan bagi melakukan kajian tindakan dan
seterusnya menyediakan laporan kajian. Kaedah ini penting supaya dapat memberikan gambaran yang
jelas mengenai konsep, prinsip, kaedah, pengolahan dan penganalisian data yang bersesuaian dengan reka
bentuk kajian. Kaedah kepustakaan ini merupakan kaedah yang berkaitan dengan maklumat-maklumat
umum dengan kata kunci bagi sesuatu kajian. Kata kunci bagi kajian ini ialah strategi pengurusan muzium,
muzium dalam tapak warisan, pemasaran muzium dan sebagainya. Bagi menemukan maklumat-maklumat
yang berkaitan kajian ini, pengkaji telah merujuk beberapa penulisan yang berkisar dengan kajian yang
hampir sama dengan kajian yang dilakukan oleh pengkaji lalu. Rujukan asas ini amat penting agar penulisan
pengkaji tidak terpesong dari landasan yang sebenar. Kaedah ini menggunakan empat proses yang
dilakukan secara berperingkat iaitu proses pembacaan kandungan, pemilihan kandungan, pengkategorian
kandungan dan persembahan kandungan.
Kaedah ini juga dilaksanakan bagi melihat faktor atau strategi kejayaan yang menjadikan sesebuah
muzium dilawati. Bagi aspek ini, tiga buah tapak warisan dunia telah dipilih iaitu Borobudur, Angkor Watt
dan Fort Rotterdam. Faktor yang dianalisis bagi aspek ini adalah merangkumi elemen fizikal iaitu lokasi dan
karakter fizikalnya, penyelidikan dan pembangunan, pelestarian dan pemuliharaan, kemudahan
infrastruktur dan juga program atau aktiviti yang disediakan. Kajian ini juga menganalisis 4 buah muzium
tempatan yang terletak berhampiran dengan tapak warisan iaitu Muzium Kota Kuala Kedah, Muzium Johor
Lama, Muzium Pasir Salak dan Muzium Kota Ngah Ibrahim. Analisis dilaksanakan dengan melihat strategi
awal perancangan dan pembangunan iaitu dari segi sejarah pembukaan muzium, strategi yang boleh
dilaksanakan bagi memperkasa kualiti tapak bersejarah di mana muzium tersebut dibina. Struktur fizikal
atau kemudahan infrastruktur juga dianalisis bagi melihat perancangan dan pembinaan yang dilaksanakan
bagi menapung keperluan dan menarik minat pengunjung.
Dapatan Kajian
i. Bagaimana muzium yang berada dalam tapak warisan diperkasakan dari sudut penelitian
terhadap kajian penataan ruang serta kemudahan yang menyokong peranan muzium tersebut
Dalam usaha untuk mewujudkan muzium yang dilawati oleh pengunjung yang ramai, faktor atau strategi
kejayaan yang telah dibuktikan oleh beberapa tapak warisan dunia boleh dijadikan sebagai contoh yang
terbaik. Untuk itu, tapak warisan terkenal dunia, Borobudur dan Angkor Wat telah dikaji faktor
kejayaannya dari segi hubungkait persekitarannya.
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 919 -

