Page 814 - Proceedings Collega2023
P. 814
Kuih muih tradisional di Johor melambangkan identiti kepada setiap sub etnik Melayu yang
terdapat di negeri tersebut. Sub etnik Melayu yang wujud di Johor seperti Jawa, Banjar, Bugis dan Melayu
Watan mempunyai kuih-muih tersendiri yang diwarisi ilmu pembuatannya daripada nenek moyang
masing-masing. Kajian ini dilakukan kerana proses pembuatan kuih-muih tradisional yang semakin
dilupakan dan tidak diketahui oleh golongan muda menyukarkan pelestarian kearifan tempatan tersebut.
Kuih-muih juga hanya digemari oleh sesetengah golongan sahaja kerana peralihan cita rasa kepada sajian
yang lebih moden. Oleh itu, kajian ini akan menghuraikan kearifan tempatan dalam kaedah penghasilan
kuih-muih tradisional di Kluang, Johor, iaitu kuih abuk-abuk, getas-getas dan kole kacang. Melalui kajian
ini dapat diteliti setinggi mana nilai kearifan tempatan yang terdapat dalam kaedah penyediaan kuih-muih
tradisional di Kluang, Johor.
Sorotan Kajian
Makanan dan fungsi makanan dapat diteliti menerusi teks cerita rakyat kerana menggambarkan
ciri-ciri tempatan dan budaya setempat (Md Noor & Musa, 2021). Menerusi analisis kandungan Teks
Musang Berjanggut menunjukkan wujud 29 jenis makanan yang dihidangkan dalam pelbagai adat istiadat
seperti istiadat istana, majlis kenduri kahwin, aktiviti seharian dan lain-lain. Makanan juga didapati
menjadi kayu ukur kelas sosial dan status dalam masyarakat kerana menu yang dihidangkan berbeza
mengikut darjat dan pangkat. Pembesar negeri telah dihidangkan kuih-muih seperti penganan (sejenis
kuih dan kudap-kudapan), lempeng (kuih yang pipih dan tipis yang diperbuat daripada tepung, dicanai dan
digoreng tanpa minyak atau minyak yang sedikit) dan cucur (kuih daripada tepung dan campuran bahan
lain seperti ikan bilis, udang, telur, garam yang digoreng dalam minyak yang banyak). Memandangkan
pembesar negeri merupakan golongan rakyat marhaen yang dilantik menjadi pembesar, kuih-muih yang
dihidangkan kepada mereka juga sinonim dengan rakyat biasa.
Budaya serumpun juga mempengaruhi prinsip dan falsafah penghasilan kuih-muih tradisional
Melayu yang dihasilkan. Pengaruh budaya serumpun dari negara Malaysia, Indonesia dan Thailand
menjadikan motif, bentuk, fungsi dan falsafah penghasilan kuih-muih tradisional Melayu mempunyai ciri-
ciri persamaan (Isam et al., 2021). Faktor budaya serumpun yang diwakili oleh orang Melayu sebagai
pembuatnya dan faktor muka bumi menyebabkan cara dan bahan yang digunakan turut menjadi faktor
persamaan tersebut. Contohnya, prinsip motif flora didapati dominan digunakan oleh orang Melayu
dalam penghasilan motif kuih. Motif flora digunakan dalam membentuk acuan dan loyang khas supaya
kuih-muih tradisional Melayu dihasilkan mengikut motif tersebut. Loyang khas yang bermotifkan buah
manggis digunakan untuk membakar kuih bingka atau bengkang (di Malaysia), piana (di Thailand) dan
kuih bika atau bingkang (di Indonesia). Motif buah rotan pula digunakan bagi menghasilkan kuih onde-
onde, buah melaka, kekoh char dan buah aro (di Malaysia), kuih klepon (di Indonesia) dan buah
mulung/nonae (di Thailand). Selain itu, bentuk geometri pula diadaptasikan dalam proses awal atau
pemotongan kuih-muih sebelum dihidangkan. Dalam hal ini, kuih-muih bukan hanya berfungsi sebagai
makanan tetapi perlu kelihatan menarik, seimbang dan harmoni dengan alam semesta. Bentuk bulat bagi
kuih cucur badak (di Malaysia), tepung badak (di Thailand) dan kue badak (di Indonesia) mengaplikasikan
konsep tersebut dalam penghasilan kuih-muih. Bentuk empat segi pula diaplikasikan semasa membuat
pemotongan kuih sebelum dihidangkan contohnya, kuih seri muka atau pulut sekaya (di Malaysia),
pulok kayo (di Thailand) dan kuih seri kaya (di Indonesia) mengaplikasikan konsep ini. Berdasarkan contoh-
contoh tersebut, dapat disimpulkan bahawa wujud pengaruh budaya serumpun dalam penghasilan kuih-
muih tradisional Melayu sebelum dan selepas menghasilkannya.
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 801 -

