Page 813 - Proceedings Collega2023
P. 813
Makanan merupakan satu komponen penting dalam meneruskan kelangsungan hidup. Makanan
merupakan salah satu produk kearifan tempatan dalam membentuk budaya dan kreativiti masyarakat
Melayu. Makanan juga merupakan simbol yang melambangkan hubungan erat dengan alam dan
mengandungi falsafah kehidupan. Dalam aspek lain, makanan juga melambangkan perbezaan sesuatu
budaya yang membentuk identiti masyarakatnya. Nilai, cara hidup, tradisi dan kebiasaan yang dilakukan
masyarakat dapat dilihat berdasarkan lokasi makanan itu berasal. Makanan juga merupakan simbol
komunikasi, agama dan demografi dalam sesebuah masyakat. Masyarakat pada zaman dahulu
mengungkapkan kearifan tempatan mereka melalui simbol verbal dan bukan verbal dalam menyampaikan
maksud yang tersirat. Kewujudan simbol seperti yang terdapat dalam makanan menjadi pengukur yang
membawa makna serta diadun mengikut budaya masyarakat pelaksana (Salleh et al., 2020).
Perkembangan teknologi dan globalisasi sedikit sebanyak mengubah landskap dan sosiobudaya sesebuah
masyarakat (Keai et al., 2023). Perkembangan tersebut menyebabkan amalan dan etika kebudayaan yang
diwarisi oleh generasi terdahulu dianggap ketinggalan zaman dan tidak praktikal di era moden ini. Persepsi
ini mungkin melenyapkan jati diri dan identiti sesebuah masyarakat jika dibiarkan berterusan.
Pemindahan ilmu antara satu generasi kepada satu generasi lain juga mengambil masa yang lama kerana
proses ini memerlukan generasi kini beradaptasi dengan khazanah pemikiran dan ilmu generasi terdahulu.
Generasi kini perlu beradaptasi dengan lingkungan dan persekitaran sehingga kemahiran-kemahiran
tersebut dipraktikkan serta menjadi amalan dalam kehidupan seharian.
Makanan tempatan merupakan hidangan yang dimakan oleh masyarakat sejak zaman berzaman
serta dikategorikan sebagai makanan tradisional atau makanan etnik (Pribadi et al., 2021). Makanan
tradisional pula mengekalkan amalan penyediaan dan penggunaan bahan asli yang diajarkan oleh
generasi terdahulu. Selain makanan tradisional yang wujud dalam sesebuah masyarakat, pertembungan
budaya turut mengubah identiti makanan yang dihasilkan. Hal ini dapat dilihat apabila wujudnya menu
makanan gabungan (fusion) yang dihasilkan bagi memenuhi cita rasa tempatan. Kuih-muih tradisional
merupakan komponen makanan yang snek, pencuci mulut atau dimakan ketika minum pagi atau petang.
Tekstur kuih-muih juga berbeza sama ada lembut, separa keras, keras, lembap atau kering, manis, pedas
atau berkuah (Kamaruzaman et al., 2022). Teknik memasak kuih-muih juga mewujudkan kepelbagaian
tekstur dan bentuk. Kaedah konvensional seperti mengeringkan (dry) dan lembap-kering (moist-heat)
merupakan cara memasak yang sering dipraktikkan. Kaedah memasak lembap-kering seperti mengukus
dan merebus lebih popular dibandingkan dengan kaedah menggoreng, memanggang dan membakar
dalam menghasilkan kuih muih tempatan.
Sempadan geografi dan hubungan sejarah dengan negara-negara jiran seperti Indonesia, Brunei
dan Thailand juga mewujudkan ciri-ciri persamaan kuih-muih yang dihasilkan oleh masyarakat di sana
(Nor et al., 2014). Kuih-muih tempatan juga menjadi identiti dan keunikan masyarakat yang
menghasilkannya kerana menggunakan bahan-bahan tempatan seperti pisang, ubi keledek, ubi kayu,
sagu, tepung beras, tepung pulut, gula melaka, keladi, santan kelapa dan sebagainya. Penggunaan warna
hijau dan bau wangi semula jadi dalam kuih seri muka, buah Melaka, cara, dan bingka pula menggunakan
daun pandan. Santan daripada buah kelapa tua yang diparut serta diperah digunakan bagi mendapatkan
rasa berlemak dalam kuih muih. Kuih onde-onde, lompang, nagasari, kaswi dan ketayap menggunakan
kelapa yang diparut, sama ada untuk menghasilkan inti atau disalut di atas permukaannya.
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 800 -

