Page 793 - Proceedings Collega2023
P. 793
Dengan menggunakan analisis kontekstual, penamaan komoditi pasaran Kedah Tua yang disebut
tanpa penjelasan yang ditil dalam sumber induk iaitu Riḥlat al-Sīrāfiy dapat dirungkai melalui sumber-
sumber lain. Sumber-sumber tersebut memberi maklumat latar belakang tentang penggunaan komoditi
yang disebutkan pada zaman awal. Seterusnya ia memberi maklumat kelestarian penyebarannya ke lokasi-
lokasi di timur dan barat pada ke-3 dan ke-4 Hijrah. Data-data yang telah dikumpul melalui kajian
kepustakaan diolah untuk mendapatkan petunjuk dan gambaran tentang jaringan perdagangan Kedah Tua
dengan tempat-tempat lain yang membekalkan komoditi ke pasarannya serta yang mendapat bekalan
pengedaran eksportnya. Ia juga dapat memberi pencerahan dan perbezaan tentang komoditi yang
dihasilkan di Kedah Tua dan yang dibekalkan daripada wilayah luar untuk dipasarkan di pasarannya. Kajian
ini berpandangan bahawa jika sesuatu tempat mempunyai bukti secara langsung bahawa mana-mana
komoditi tersebut diedarkan oleh pedagang atau digunakan di situ pada kurun ke-3H atau kurun ke-4H, ia
dikira sebagai lokasi jaringan pada era tersebut . Demikian juga jika pedagang yang datang dari Kedah Tua
diketahui singgah di lokasi tertentu atau menguasai pertuturan bahasa kaum tertentu yang mempunyai
sejarah penggunaan komoditinya, ia dikira maklumat secara tidak langsung kepada perangkuman lokasi
tersebut dalam jaringan perdagangan yang dimaksudkan.
Sorotan Literatur
Kedah Tua yang merupakan legasi tamadun di Semenanjung Tanah Melayu mendapat perhatian bidang
penyelidikan barat pada mulanya sebelum ilmuan tempatan melibatkan diri. Maklumat tentangnya boleh
disoroti melalui peninggalan artifak serta catatan silam dalam Bahasa Cina, India dan Arab. Sehubungan
dengan itu, banyak tulisan ilmiah telah dihasilkan untuk menjawab tanda tanya tentang hakikat tamadun
ini. Sebagai contoh ialah sebuah penyelidikan yang berjudul “Kedah Tua: Satu Cerakinan Sumber India”
oleh Khaw et al. (2017). Biarpun judul memaparkan fokus penyelidikan kepada sumber India, tetapi
penyelidikan tersebut menyatakan perbincangan mereka turut bersumberkan catatan Arab dan sedikit
dari catatan China dan Jawa. Sumber India yang dirujuk merupakan karya sastera dalam bahasa Tamil dan
Sanskrit yang berlatarbelakangkan Kedah Tua. Bagaimanapun, sumber daripada prasasti dikira lebih
konkrit kerana ia adalah dokumen rasmi dan bukan cerita khayalan. Prasasti lebih memberi penekanan
kepada aspek politik dalaman Kedah Tua dan persekitaran politik luar. Manakala sumber Tamil dikatakan
menyebut tentang komoditi yang dihasilkan di Kedah Tua. Begitupun, penyelidikan ini tidak memberi
walaupun satu contoh daripada komoditi Kedah Tua yang diperdagangkan.
Penyelidikan lain adalah berjudul “Sejarah, perkembangan ekonomi dan hubungan antarabangsa
Kedah Tua dari kurun ke-2 hingga ke-14 Masihi” oleh Ramli (2020). Ia bertujuan untuk melihat kronologi
sejarah, ekonomi dan hubungan antarabangsa yang berlaku dalam Kerajaan Kedah Tua dari kurun ke-2
hingga ke-14 Masihi. Penyelidikan tersebut merujuk sumber bertulis Arab-Parsi, China dan India serta data
arkeologi yang dijadikan penyelidikan bermula sejak 1840-an oleh James Low. Sungguhpun penyelidikan
ini menyatakan perujukan kepada sumber bertulis Arab-Parsi, barang dagangan yang dipaparkan adalah
berdasarkan pertemuan artifak daripada barangan seramik, kaca, manik dan seumpamanya. Tiada
penyebutan komoditi logam serta produk berasaskan tumbuhan atau haiwan sebagaimana yang disebut
dalam sumber Arab. Walhal, melalui komoditi tersebut, kronologi sejarah, ekonomi dan hubungan
antarabangsa dapat dijejaki. Dipercayai bagi elemen sumber Arab, penyelidikan ini bergantung kepada
terjemahan barat yang tidak lengkap dan bukan kepada naskhah dalam bahasa asalnya.
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 780 -

