Page 750 - Proceedings Collega2023
P. 750
Hasil penelitian terhadap kedua-dua buah peta dan analisis dapatan temu bual separa berstruktur
telah mendapati beberapa isu penting yang dapat dibangkitkan. Isu-isu yang berbangkit ini adalah secara
khususnya memberi kesan ke atas bangunan bersejarah yang ada di Bandar Chukai. Hal ini juga telah
menyebabkan morfologi warisan Bandar Chukai telah terganggu dan berubah. Secara tidak langsung
memberi kesan yang negatif terhadap perkembangan pemuliharaan bandar ini. Isu-isu berkenaan adalah
(i) pengabaian pemetaan bangunan warisan berdasarkan peta terkini, (ii) perubahan kepada morfologi
warisan bandar setelah 27 tahun dan (iii) usaha pemuliharaan yang tidak menyeluruh oleh pihak
berkepentingan.
4.1 Pengabaian Pemetaan Bangunan Warisan Berdasarkan Peta Terkini
Perbandingan yang dibuat terhadap kedua-dua buah peta, mendapati bahawa berlakunya
pengabaian terhadap pemetaan bangunan-bangunan warisan di Bandar Chukai khususnya terhadap
pemetaan yang terkini. Pemetaan pada tahun 1995 secara jelas telah mengetengahkan senarai bangunan-
bangunan warisan yang ada di kawasan Chukai. Tindakan kajian berkenaan mengenalpasti dan
melaksanakan senarai dengan butiran lengkap, menunjukkan terdapatnya nilai warisan setempat di
Chukai yang perlu dipulihara. Namun, hal ini tidak diberikan penekanan oleh pihak PBT menerusi peta
terkini yang telah disediakan.
Pihak PBT tidak melaksanakan dan tidak menyambung usaha pemetaan bangunan warisan yang
telah dilaksanakan. Sekali gus menyebabkan tiada kesinambungan pemetaan berlaku ke atas 28 buah
bangunan terbabit sehinggalah ke hari ini. Pemetaan terkini telah membuktikan pernyataan ini. Pemetaan
yang dijalankan tidak mampu untuk mengetengahkan atau menonjolkan (highlight) butiran bangunan
warisan yang ada, sebagaimana yang dilaksakan pada tahun 1995. Hal ini oleh kerana ia tidak berfokus
sedemikian. Pemetaan lebih berfungsi untuk mengetahui rupa bandar secara umum di kawasan meliputi
Jalan Sulaimani, Jalan Abdul Rahman dan Jalan Masjid, untuk dilakukan pembangunan lokal.
Berdasarkan dapatan dari temu bual, pihak PBT tidak mempunyai data berkenaan butiran
bangunan warisan seperti yang dikemukan menerusi Jadual 2. Malahan, pihak PBT juga tidak mengesan
akan keberadaan dan keadaan terkini sesetengah bangunan yang terlibat. Hal ini menurutnya disebabkan
ketiadaan data yang mampu diakses oleh pihak berkenaan. Bangunan seperti Siew Distillery dan rumah
kediaman beralamat 47, Jalan Bakar dan K52, Jalan Kampung Cina adalah antara bangunan yang tidak
diketahui keberadaannya oleh pihak PBT. Keadaan sebegini berlaku adalah disebabkan kesan secara
langsung terhadap pengabaian pemetaan oleh pihak berkepentingan.
HUL sangat menitikberatkan berkenaan mengenalpastian setiap butiran ke atas sesebuah tapak
kajian melalui pelaksanaan tinjauan pemetaan yang komprehensif ke atas sebuah bandar lama (UNESCO,
2016). Tindakan ini membantu untuk mendapatkan idea berkenaan penerapan kaedah pemuliharaan
yang terbaik ke atas bandar berkenaan. Hasilnya, gambaran keseluruhan kawasan dapat dipetakan dan
diperhatikan sehingga melibatkan kajian digitalisasi yang lebih kompleks untuk membantu strategi
pengurusan data pemetaan sesebuah kawasan, seterusnya menjamni pemuliharaan kawasan tersebut (L.
García-Soriano, et al, 2020). Dengan adanya data sebaik ini, risiko pengabaian ke atas warisan tempatan
sebagaimana yang sedia ada berlaku di Bandar Chukai dapat dikawal dengan lebih baik.
Tambahan juga, menurut Hoda Zeayter, et al, (2018) dan Doratli, et al, (2001), informasi ke atas
sesebuah tapak kajian yang ditonjolkan menerusi pemetaan mampu memainkan peranan ke arah
penganalisaan yang berkesan. Penganalisaan terhadap latar belakang tapak, keadaan fizikal, fungsi dan
lain-lain input tertentu adalah informasi tunjang dan terpenting bagi menjamin keberkesanan
pemuliharaan rupa bentuk bandar bersejarah. Dengan itu, muncullah kaedah dan alat untuk merekod
informasi sebegini seperti penggunaan GIS, GPS, lakaran 3D dan sebagainya. Pendekatan sebegini mampu
menonjolkan perubahan yang berlaku ke atas kawasan kajian seterusnya membantu mencapai
penganalisaan yang lebih baik. Oleh itu, jelaslah akan kepentingan informasi yang lengkap terhadap
pemetaan bandar bersejarah bagi tujuan pemuliharaan.
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 737 -

