Page 753 - Proceedings Collega2023
P. 753
Terengganu pada tahun 2009 (Muzium Negeri Terengganu, 2022). Kerja pemuliharaan telah dijalankan
pada tahun yang sama oleh dua buah syarikat lantikan pihak Jabatan Kerja Raya Daerah Kemaman.
Pihak Jabatan Perancangan Bandar telah menjelaskan berlakunya pengambilan tanah (land
acquisition) ke atas tapak bangunan Muzium Kemaman. Ia adalah sebagai salah satu langkah
pemuliharaan melalui suai guna (adaptive reuse) bangunan berkenaan. Campur tangan daripada pihak
kerajaan negeri Terengganu ke atas usaha pemuliharaan ini menunjukkan berlakunya satu kerjasama dan
built partnership yang bersepadu untuk membantu pemuliharaan bangunan warisan di Chukai. Dapatan
melalui temu bual bersama Pegawai Perancang telah mendapati bahawa kerjasama antara pihak Jabatan
Perancangan Bandar dan kerajaan negeri Terengganu adalah berdasarkan Akta Pengambilan Tanah 1960
(Akta 486).
Akta ini telah memperuntukkan kuasa kepada pihak berkuasa negeri untuk mengambil sesebuah
bidang tanah dengan syarat diberikan pampasan yang dikira mencukupi dengan nilai tanah berkenaan
(Jaiya Abu, 2020). Setelah proses pengambilan dan pemberian pampasan selesai, tanah berkenaan secara
rasminya telah bertukar milik menjadi milik kerajaan negeri dan sebarang kerja-kerja pembangunan boleh
dimulakan (Jabatan Tanah dan Galian, 2020). Keadaaan ini secara tidak langsung mengesahkan
pengimplementasian Langkah 7 HUL ke atas kawasan berkenaan yang melibatkan kerjasama antara pihak
pentadbiran negeri dan pentadbiran tempatan.
Namun usaha pemuliharaan yang telah dimainkan tidak menyeluruh dan dilihat tidak mampu
untuk mengangkat nilai warisan setempat di Bandar Chukai (UNESCO, 2016). Kerja pemulihaaran
sebaiknya perlu dijalankan secara lebih menyeluruh dan berintegrasi. Hal ini sebagaimana yang telah
diketengahkan oleh C. Udeaja, et al, (2020) yang menegaskan bahawa pendekatan yang lebih holistik
seperti yang disyorkan oleh HUL perlu diambil perhatian bagi mencapai kesan pemuliharaan yang lebih
baik dan lestari.
Kesimpulan
Pemuliharaan bandar adalah tindakan penting bagi mengekalkan warisan bina (built heritage)
sedia ada di sesebuah bandar. Nilai warisan bina yang ada di bandar seperti bangunan bersejarah, perlu
mendapat tindakan pemuliharaan bagi mengekalkan struktur binaan dan merendahkan potensi
kerosakan yang serius. Pemetaan sebagai langkah awal pemuliharaan adalah sangat penting bagi
mengenalpasti dan mengetengahkan warisan bina yang ada di bandar. Data pemetaan yang lengkap
mampu digunakan bagi melaksanakan sebarang usaha pemuliharaan secara lebih berkesan. Implikasi
ketiadaaan data ini menyebabkan kerja pemuliharaan tidak berlaku dengan baik. Selain mampu untuk
mengundang masalah lain seperti menganggu imej warisan dan morfologi bandar. Kes di Bandar Chukai
adalah bukti bahawa pengabaian data pemetaan mampu memberikan kesan yang buruk kepada kerja
pemuliharaan bandar bersejarah.
Pemuliharaan bangunan bersejarah di Bandar Chukai tidak dijalankan dengan baik. Dari segi
pelaksanaan pemetaan, ia tidak mempunyai kesinambungan, terutamanya berkenaan pemetaan
bangunan bersejarah. Hanya pemetaan yang lama sahaja telah menonjolkan butiran warisan bina yang
ada dengan lengkap. Manakala pemetaan baharu tidak diberikan perhatian akan hal ini. Secara tidak
langsung data terkini terhadap keberadaan dan kondisi bangunan bersejarah di kawasan berkenaan tidak
dapat diperoleh. Pihak berkuasa juga tidak menjalankan peranan dengan sebaiknya. Hal ini berikutan
tindakan pemuliharaan tidak dijalankan dengan menyeluruh. Hanya 2 daripada 10 pemuliharaan bandar
yang telah dilaksana. Ini membuktikan pengabaian ke atas nilai warisan setempat. Hal ini menyebabkn
berlakunya gangguan kepada morfologi bandar bersejarah yang melibatkan bangunan bersejarah di
bandar ini.
International Conference on Local Wisdom of the Malay Archipelago (COLLEGA 2023) Page - 740 -

